'Tergamak diorang buang anjing camni' - 3 lelaki sumbat anjing sakit dalam plastik, buang ke tong sampah


Seorang lelaki yang sedang menunggu untuk mengambil barang untuk penghantaran, Rozaidi Hashim, tercengang apabila melihat tiga lelaki membuang seekor anjing dewasa di tempat pembuangan sampah di Jalan Cheras. 


"Anjing itu dijumpai di dalam beg plastik lutsinar yang diikat dan dibawa ke tempat pembuangan sampah itu dengan trak. 


"Mereka membuang anjing itu dan terus beredar. Saya terus menghampiri anjing itu dan melihat ada luka besar di bahagian lehernya," kata Rozaidi, 50, yang bekerja sebagai penghantar barang.


Rozaidi kemudian membuka ikatan plastik tersebut dan memberi anjing itu air sebelum menghubungi organisasi penyelamat haiwan untuk membantu anjing malang itu. 


"Saya hampir menangis melihat keadaan anjing itu yang teruk. Macam mana orang tergamak buang anjing sakit macam sampah?" katanya yang juga sempat mencatit nombor pendaftaran trak terbabit. 


Malaysian Dogs Deserve Better (MDDB) yang dihubungi Rozaidi, segera menghantar seorang sukarelawannya ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan anjing itu. Namun, haiwan itu bersembunyi di bawah longkang kerana ketakutan. 


Sukarelawan MDDB terpaksa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat untuk meminta bantuan dan anggota bomba berjaya mendapatkan semula anjing itu dan diserahkan kepadanya. 


Haiwan yang cedera itu kemudian dibawa ke klinik veterinar di Puchong dan pemeriksaan mendapati ia mengalami luka jangkitan di bahagian leher, selain keadaannya yang kurus dan mengalami anemia. 


Doktor yang merawat anjing itu mengesyaki, luka tersebut berpunca dari rantai yang diikat terlalu ketat di lehernya. Anjing yang diberi nama Rozi ini kini sedang menjalani rawatan di klinik berkenaan. 



Rozaidi telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa, untuk tindakan lanjut. 


Sumber: The Star

No comments