'Kalau aku dapat engkau, aku terajang & pijak muka kau!' - Anak ugut pukul ibu sebab tak bagi wang


Seorang lelaki berusia 34 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan cuba menakutkan kakaknya dan mengugut mencederakan ibu mereka, lapor Harian Metro. 


Tertuduh, Mohd Afandi Hasnan, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh selepas jurubahasa membacakan pertuduhan tersebut. 


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya berusia 62 tahun dengan kata-kata berikut: 


"Kalau aku dapat engkau, aku tarik macam babi, aku kerjakan engkau, aku terajang kau, aku pijak muka kau. Aku minta duit, kau tak bagi!" 


Difahamkan tertuduh bertindak demikian untuk menakutkan kakaknya dalam kejadian yang berlaku di hadapan rumah di Jalan Raja Haji 2, pada jam 10 malam, 1 Ogos 2020. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mencadangkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan syarat tambahan hanya ibunya dibenarkan sebagai penjamin. Namun, peguamnya, Amritpal Singh merayu agar jumlah itu direndahkan kerana anak guamnya itu tidak mempunyai pekerjaan tetap. 


Majistret Mohamad Izwan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 beserta dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dibicarakan. 


Sumber: Harian Metro

No comments