'Dasar anak tak guna!' - Bengang tak disediakan makanan, anak pukul kepala ibu sampai mati


Seorang lelaki berusia 28 tahun tergamak memukul kepala ibunya sehingga mati dalam kejadian yang berlaku pada jam 10 pagi, Sabtu, 5 Disember 2020 di Dusun Muara Tolang, Sumatera Utara, Indonesia. 


Menurut sumber, suspek, Syahrul, memukul kepala ibunya, Dasima Siagian, 52, menggunakan kayu sebanyak dua kali menyebabkan mangsa rebah di bawah kakinya dengan kepalanya mengalami pendarahan teruk. 


"Setelah bahagian kepala mangsa dipukul dengan kayu sebanyak dua kali, mangsa tersungkur di hadapan suspek," kata jurucakap Polis Daerah Tapanuli Utara, Jonser Banjarnahor pada Rabu, 9 Disember 2020. 


Selepas dipukul, Dasima dikatakan masih bernyawa dan sempat melarikan diri ke klinik kesihatan berhampiran. Malangnya, sudah terlambat dan mangsa disahkan meninggal dunia sebaik saja menghembuskan nafas terakhir. 


Susulan kejadian itu, polis menahan Syahrul dan ketika disoal siasat, Syahrul mengakui memukul ibunya. Syahrul berbuat demikian kerana berang mangsa tidak menyediakan makanan dan ketika itu dia baru saja bangun dari tidur dan perutnya terasa lapar. 


Syahrul bertanya kepada ibunya yang sedang membersihkan rumah mengapa dia masih belum menghidangkan makanan. Mangsa menjawab, "Kalau lapar, makanlah di rumah jiran. Ada kenduri, tadi ibu membantu diorang memasak". 


Namun Syahrul berang dan tidak menerima alasan mangsa lalu mengambil kayu dan memukul kepala ibunya sebanyak dua kali. 


Kejadian itu diketahui oleh jiran-jiran yang kemudian terus menghubungi Ketua Kampung dan pihak polis sebelum suspek berjaya ditahan. 


Suspek kini direman polis kerana membunuh dan berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun. - Agensi

No comments