'Sejak bercerai, suspek jadi panas baran' - Suspek tikam anak direman 5 hari


Bayi yang ditikam bapanya dalam kejadian di sebuah rumah di Puchong Permai, semalam dilaporkan selamat menjalani pembedahan. 


Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pesakit telah dirujuk ke Hospital Tunku Azizah (Wanita dan Kanak-Kanak) untuk menjalani pembedahan dan keadaannya dilaporkan stabil. 


Keadaan bayi itu akan terus dipantau dan diberikan rawatan susulan. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, siasatan mereka mendapati suspek telah bercerai dengan isterinya, yang menjadi punca pekerja kedai aksesori kenderaan itu mengalami tekanan perasaan. 


Keputusan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek berusia 27 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine. 


BACA: USUS BUDAK 18 BULAN TERBURAI DITIKAM BAPANYA YANG TIBA-TIBA MENGAMUK


Suspek kini direman selama lima hari sehingga 17 Disember untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 petang semalam, saksi yang juga jiran kepada suspek berkata, dia terdengar bunyi ketukan kuat di dinding rumah suspek sebelum melihat nenek mangsa yang mundar-mandir di luar rumahnya dalam keadaan panik. 


"Pada mulanya saya menyangka bunyi itu adalah bunyi jiran sedang bertukang. Namun tidak lama kemudian, nenek mangsa memaklumkan anak lelakinya mengamuk dan menghalaunya keluar dari rumah sebelum mengunci pintu dari bahagian dalam. 


"Beberapa minit kemudian, anggota polis serta bomba datang dan meminta lelaki itu membuka pintu. Namun dia enggan menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan. 


"Saya mengenali keluarga itu selepas tinggal di sini sejak tiga tahun lalu. Saya difahamkan bayi berkenaan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu. 


"Sepanjang tempoh itu, mangsa dijaga oleh neneknya. Ibu suspek pernah memberitahu yang anaknya berubah menjadi panas baran setelah bercerai dengan isterinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 30. 


Sumber: Harian Metro

No comments