'Satu hari nanti kita pasti akan lakukan hubungan s...' - Remaja diganggu secara seksual oleh guru memandu


Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh guru memandu di sebuah institut memandu ketika menjalani sesi ujian memandu, tampil menceritakan peristiwa yang dialaminya itu agar gadis-gadis di luar sana sentiasa berhati-hati apabila berdepan dengan situasi seperti ini. 


Berkata kepada pihak World of Buzz, individu yang enggan identitinya didedahkan berkata dia menjalani ujian percubaan memandu beberapa hari lalu dengan guru memandu yang dianggarkan berusia pertengahan 20-an. 


Setelah selesai menjalani ujian di litar memandu, lelaki itu meminta dia memandu ke luar ke jalan raya. Mangsa akur dengan arahan tersebut dan meneruskan perjalanan ke jalan utama. 


Kebiasaannya apabila menjalani sesi latihan memandu di jalan raya, lelaki itu akan meminta dia memandu di jalan yang sudah biasa digunakan iaitu jaraknya hanya 2 hingga 3 minit dari institut memandu. Bagaimanapun pada hari kejadian, lelaki berkenaan meminta dia memandu di jalan lain yang membawanya ke tempat yang tidak pernah dilalui. 


"Saya keliru, tetapi saya tetap mengikut arahan dia. Apabila sampai ke jalan mati dan ada beberapa kerja-kerja pembinaan, dia meminta saya membuat pusingan U dan pergi dari tempat itu. 


"Kemudian dia suruh saya masuk ke lorong di antara dua barisan rumah yang sangat kecil dan sunyi. Mujurlah saya memandu dengan laju dan terlepas simpang masuk. 


"Apabila saya terlepas simpang masuk, dia menekan brek dari bahagian penumpang hadapan serta memberhentikan kenderaan. Dia kata, "Kita perlukan sesuatu la"," katanya. 


Pada waktu itu, mangsa beranggapan guru memandu itu mahu menegur dia memandu terlalu laju sehingga terlepas simpang masuk. Tetapi sebalik, lelaki itu memberitahu yang dia mahu melakukan hubungan intim dengan mangsa lalu meminta nombor telefonnya. 


Mangsa cuba untuk teruskan pemanduan, tetapi kereta tidak berganjak kerana lelaki itu tidak melepaskan pedal brek. Mangsa terpaksa memberikan nombor telefonnya dan barulah dia dapat menyambung semula pemanduan. 


Sepanjang perjalanan pulang ke institut memandu, lelaki itu kerap mengulangi kata-kata seperti, "Saya akan mesej dan call awak satu hari nanti. Saya pasti kita akan berjumpa dan melakukan hubungan intim satu hari nanti". Lelaki itu turut mengambil gambar mangsa dari kertas yang mengandungi semua maklumat mangsa. 


Sampai ke institut memandu, mangsa menceritakan kepada ejennya mengenai apa yang telah berlaku sebelum ejennya membawa ke balai polis untuk membuat laporan. Pengajar pemandu terbabit kini digantung kerja untuk siasatan lanjut. 


"Saya bersyukur dia tidak menyentuh saya atau melakukan apa-apa pada saya. Saya bernasib baik sebab tak masuk ke lorong itu. Kalau saya masuk, entah apa yang berlaku kepada saya. Hanya kami berdua saja di dalam kereta, ditambah pula tiada orang di sekitar kawasan itu. 


"Saya berkongsi mengenai kejadian itu untuk memberitahu kepada golongan wanita yang pergi institut memandu, berhati-hati. Jangan dengar apa yang dikatakan oleh pengajar pemandu jika dia meminta kamu memandu di tempat lain dari kebiasaan," katanya. 


Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah memandu di Hulu Langat, Selangor, manakala guru memandu itu pula berasal dari Kuala Lumpur


Sumber: World of Buzz

No comments