(Video) 'Saya janji tak buat lagi' - Aksi wheelie tak menjadi, mat rempit patah kaki
Kesungguhan seorang remaja lelaki melakukan aksi wheelie di Kota Baubau, Sulawesi Tenggara, Indonesia, mengundang padah apabila dia terjatuh setelah motosikalnya melanggar tebing jalan dalam kejadian yang berlaku pada Rabu, 9 Disember 2020.
Akibat dari kemalangan itu, remaja berusia 14 tahun terbabit mengalami patah tulang di bahagian paha kiri dan perlu mendapatkan rawatan di hospital.
"Video kejadian viral di media sosial pada Ahad, 13 Disember 2020. Penunggang motosikal itu telah dikenalpasti dan dia kini sedang dalam tempoh pemulihan kerana bahagian paha kirinya patah," kata Ketua Polis Baubau, Sugiri.
Dalam video tersebut, remaja terbabit melakukan aksi wheelie dengan berdiri di atas motosikal sambil mengangkat bahagian depan motosikal. Tidak beberapa lama kemudian, remaja itu duduk semula menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu melanggar tebing jalan.
Kemalangan itu membuatkan mangsa terjatuh dan terseret sejauh enam meter di jalan raya sebelum didatangi penduduk berhampiran yang terdengar bunyi kemalangan itu.
Video kemudian dimuat naik ke media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengucapkan "Padan muka kau dik".
Ketika didatangi polis, mangsa mengakui kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi dan menasihatkan rakan-rakan sebaya untuk tidak terbabit dalam kegiatan berisiko seperti itu.
Menurut Sugiri, aksi seperti itu adalah salah di sisi undang-undang. Beliau meminta golongan ibu bapa mengawasi anak masing-masing terutamanya anak yang masih bersekolah dari terjebak dengan aktiviti berbahaya itu. - Agensi
Post a Comment