Wanita maut akibat keracunan makanan selepas makan popia yang dibelinya 3 hari lalu

Seorang wanita di Samut Prakan, Thailand, dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan beberapa jam selepas mangsa makan popia yang disimpan di peti sejuknya sejak tiga hari lalu. 


Mangsa berusia 40 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu dan suaminya sebelum itu sedang menonton televisyen bersama-sama pada tengah hari Isnin lalu selepas makan popia yang dipanaskan semula di mana popia itu dibeli dari pasar tiga hari lalu. 


Secara tiba-tiba, mangsa mengalami sakit perut yang luar biasa lalu segera pergi ke tandas. 


Suaminya mula berasa pelik apabila mangsa tidak kembali ke ruang tamu hampir sejam lalu pergi mengetuk pintu tandas untuk memeriksa keadaannya. 


Namun, mangsa tidak memberikan sebarang respon menyebabkan si suami terpaksa memecahkan pintu tersebut dan mendapati isterinya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan muntah di merata-rata tempat. 


Lelaki itu segera menghubungi ambulans dan cuba memberi bantuan CPR, malangnya pasukan perubatan yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 


Bedah siasat mendapati mangsa maut akibat keracunan makanan berikutan mangsa mengalami dehidrasi teruk kerana muntah dan cirit-birit. 


Menurut doktor yang mengendali kes itu berkata, kes keracunan makanan adalah biasa dan gejalanya tidak begitu teruk. Namun pesakit digesa untuk mendapatkan rawatan segera. 


Gejala keracunan makanan termasuk sakit perut dan kekejangan, cirit-birit, mual, muntah dan demam. Jika seseorang itu mengalami cirit-birit lebih dari tiga hari, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik/hospital berdekatan. 


Sumber: International Business Times

No comments