UMNO pertimbang tarik diri dari sokong PN, Zahid Hamidi menghadap Agong Khamis ini

UMNO dilaporkan sedang membuat pertimbangan untuk menarik dari dari menyokong Perikatan Nasional (PN). 


Tetapi pertimbangan itu tidak bermakna UMNO tidak lagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaliknya, UMNO akan memberikan syarat baharu kepada Muhyiddin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis. 


Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, syarat baharu itu akan dikemukakan kepada Muhyiddin dalam masa terdekat. 


"Jadi, inilah keputusan yang kita lakukan dan ia sebagaimana situasi politik yang mana rakyat sedia maklum selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini (Selasa 13/10/2020)," katanya memetik laporan dari Sinar Harian. 


Berdasarkan kenyataan media yang dikongsi Ahmad Maslan, UMNO juga mencadangkan Muafakat Nasional (MN) segera didaftarkan sebagai gabungan politik yang sah.


"UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan dengan berkesan, demi kesejahteraan rakyat dan negara. 


"Kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan. Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara," katanya. 


Sementara itu, Presiden UMNO, Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini jam lima petang. 


Pertemuan yang bakal diadakan itu adalah susulan daripada perkembangan terbaru politik negara selepas Anwar menghadap Baginda di Istana Negara, semalam. 


Sumber: Ahmad Maslan, Sinar Harian

No comments