'Tak tau la sempat ke tak mak makan hasil buah ditanam ni' - 3 maut, kereta hilang kawalan lalu bertembung secara berdepan

Tiga individu dilaporkan maut akibat kemalangan yang berlaku di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran simpang masuk ke Kampung Klah Baru, jam 11 pagi Ahad (18/10/2020). 


Kemalangan itu membabitkan kereta Proton Saga dan Perodua Myvi. 


Pasangan suami isteri yang menaiki Proton Saga, Mohamed Tahir Junus, 64, dan Nor Aini Mohd Sam, 56, berasal dari Tanjung Malim, maut di lokasi kejadian, manakala pemandu Myvi, Muhammad Ridhwan Ismail, 22, dari Teluk Intan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River. 


Polis dan Bomba menerima panggilan awam mengenai kemalangan itu pada jam 11.04 pagi. Apabila tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan masih berada dalam posisi asal dan bomba menggunakan peralatan kecemasan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. 


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, Muhammad Ridhwan dalam perjalanan ke Teluk Intan dari Subang Jaya.


Kereta Myvi itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan lalu menyebabkan kedua-duanya itu bertembung secara berdepan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Sementara itu anak kepada pasangan suami isteri terbabit, Azrul Azizul Mikminin Mohamed Tahir, 30, berkata, dia tidak menyangka kata-kata ibunya semasa berada di kebun milik mereka di Kampung Gajah, merupakan petanda mereka akan pergi buat selamanya. 


"Tak tahulah mak sempat atau tak makan hasil buah-buahan yang ditanam di kebun ini" - Nor Aini Mohd Sam. 


Difahamkan, pada waktu kejadian, ibu dan bapa Azrul dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanjung Malim selepas tiga hari melawat mereka di Air Kuning, Tapah. 


Menurut Azrul, dia hanya mendiamkan diri apabila mendengar kata-kata ibunya itu. Ayahnya pula sebelum itu asyik menyuarakan kerisauan jika tidak dapat melawat mereka sekeluarga kerana bimbang larangan rentas negeri akan dilaksanakan semula susulan peningkatan kes Covid-19. 


"Saya tidak percaya apabila dimaklumkan ayah dan emak terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi kerana mereka baru bertolak pulang ke rumah. 


"Namun, ketika dalam perjalanan ke hospital, saya sempat melihat gambar kemalangan yang dihantar kepada saya dan selepas dihubungi kakak, barulah saya percaya kedua-dua mereka sudah pergi," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS

No comments