'Susah sangat ke nak bagi kerjasama?' - Tanggal gelang pink, lelaki dikompaun Inspektor Kesihatan

Padah menanggalkan gelang pink, seorang lelaki dikompaun oleh Inspektor Kesihatan kerana menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran pihak berkuasa. 


Perbuatan lelaki terbabit terbongkar selepas Anggota Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kemamam membuat operasi pemeriksaan terhadap 41 PUS (Person Under Surveillance) yang pulang dari zon merah dan kuning khususnya dari Sabah dan Kedah, susulan peningkatan kes Covid-19. 


Menurut sumber, lelaki itu sebelum ini bertugas di Sabah dan kemudian diarahkan oleh majikannya untuk bertugas di daerah Kemamam. 


2 Oktober lalu dia tiba di KLIA dan telah menjalani ujian saringan pertama serta diberi notis untuk menjalani kuarantin dan pengawasan di rumah. 


Petugas kesihatan di KLIA turut memakaikan gelang kuarantin pada tangannya dan melarang lelaki berkenaan menanggalkan gelang tersebut tanpa kebenaran pihak berkuasa sehingga memperolehi keputusan negatif. 


Dalam operasi yang dijalankan ke atas sebuah premis mendapati, lelaki itu tidak memakai gelang tersebut. Dia memberikan alasan gelang itu dibuka kerana dia mahu pergi ke kedai dobi. 


Disebabkan keingkarannya itu, Inspektor Kesihatan mengeluarkan kompaun terhadapnya di bawah peraturan 8(3) Langkah Pencegahan di Kawasan Jangkitan Akta 342 (No 8) kerana menanggalkan gelang tanpa kebenaran pihak berkuasa. 


Sumber: Salahuddinyusuf Ibnayubbi

No comments