'Peniaga nak cari makan, ko kompaun sampai RM3,000' - Langgar SOP 2 orang dalam kereta, peniaga gerai nasi ayam dikompaun

Sebuah gerai nasi ayam yang popular di USJ4, Subang Jaya berkemungkinan terpaksa ditutup setiap kali kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Ini kerana, prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan bagi PKPB menetapkan, hanya dua orang sahaja yang dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan, di kawasan yang dilaksanakan PKPB. Hal itu membuatkan pengusaha gerai nasi ayam ini berada dalam dilema dan baru-baru ini dia telah dikenakan 3 kompaun bernilai RM3,000 dalam satu masa. 


Menurut Seow Boon Keong yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan nasi ayam di USJ4 itu berkata, pada hari kejadian iaitu 14 Oktober 2020 dia bersama dengan dua ahli keluarganya  iaitu adik perempuan dan anak saudara dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki keretanya.


Setelah selesai, mereka pulang ke rumah kira-kira jam 3.30 petang sebelum ditahan polis ketika melalui Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), berhampiran Plaza Tol USJ dan dikenakan tiga kompaun berasingan setiap satunya bernilai RM1,000. 


"Kami melakukan perjalanan dari Jenjarom ke USJ4 setiap hari agar perniagaan nasi ayam kami dapat dijalankan. Jarak perjalanan dari Jenjarom ke USJ4 adalah 30 kilometer. Disebabkan jarak jauh dan dua yang lain tidak mempunyai lesen memandu maka kami menaiki kereta yang sama untuk pergi ke tempat kerja. 


"Itu adalah rutin seharian kami dan kami tidak pergi ke mana-mana selepas selesai bekerja. 


"SOP dua orang dalam satu kenderaan adalah tidak sesuai untuk orang seperti kami yang mengusahakan perniagaan. Bahkan, kami mempunyai surat yang mengesahkan bahawa kami bekerja dan menjalankan perniagaan di USJ4. 


"Bagaimana nak meraih pendapatan di waktu yang sukar, kalau perkara seperti ini (kompaun tak munsabah) berterusan? Jarak dari Jenjarom ke USJ4 jauh dan jika menggunakan perkhidmatan Grab, ia akan menelan kos RM40 bagi satu perjalanan untuk dua penumpang. 



Seow berkata, peniagaannya mungkin terpaksa ditutup dan dia akan hilang satu-satunya sumber pendapatan bagi menyara keluarga. 


Difahamkan, Seow diberi tempoh sehingga 26 Oktober ini untuk membuat rayuan pengurangan harga kompaun yang dikenakan. 


"Saya berharap pihak berkuasa bertimbang rasa terhadap golongan peniaga yang perlu mencari rezeki terutamanya pada waktu begini," katanya. 


Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, tindakan memberi kompaun itu tidak sepatutnya berlaku. Sebaliknya anggota berkenaan memberikan amaran awal kepada peniaga berkenaan. 


Dalam pada itu, Wong Chen menasihatkan peniaga berkenaan membuat rayuan berdasarkan dua perkara penting.


"Terdapat dua alasan untuk mengemukakan rayuan. Pertama, peniaga dan dua penumpangnya adalah keluarga dan tinggal bersama. Oleh itu, berada dalam kenderaan yang sama tidak meningkatkan risiko penyebaran wabak itu. 


"Kedua, mereka bukannya melakukan perjalanan suka-suka, tetapi dalam perjalanan ke tempat kerja yang jelas sekali bukanlah aktiviti yang dilarang dalam PKPB," katanya. 


ADUN Subang Jaya, Michelle Ng, dan ADUN Banting, Lau Weng San, turut tampil menawarkan diri untukmembantu peniaga berkenaan. 


"Lau Weng San dan saya akan meneliti kes ini dan akan membantu peniaga berkenaan membuat rayuan serta meminta pihak kementerian terbabit memperbaiki SOP berkaitan pengangkutan untuk keluarga yang mengusahakan perniagaan," katanya. 


Sumber: SJ Echo

No comments