Perasaan Anak Syria Hadapi Musim Sejuk Tanpa Baju Tebal. Bila Pi Sana Baru Tau. Allahu.

Perasaan Anak Syria Hadapi Musim Sejuk Tanpa Baju Tebal. Bila Pi Sana Baru Tau. Allahu. | Saya Luv Islam – Nama saya Syed Zainal. Sebelum ni memang tau pelarian Syria terutama kanak2 memang hidup susah akibat peperangan. Awal Januari lepas alhamdulillah terpilih jadi sukarelawan ke sana. Bila berada di kem pelarian tu, saya terkedu bila nampak kanak2 pakai ala kadar je semasa musim sejuk dan lebih memeranjatkan lagi bila tau ada ayah orang Syria telah…..

SYRIA, KAMI DATANG !

“Syed Good Luck! Hang akan wakilkan MVM pergi Turki-Syria untuk Winter Mission Syria 2017.”

Ini adalah satu ayat yang mengsunyikan alam, yang akan saya ingat sampai bila-bila dari Tuan Presiden MVM.

Apabila dapat tahu akan dihantar ke Turki untuk memberi bantuan kepada saudara kita di Syria orang pertama yang saya fikirkan adalah ibu saya.

“Apa nak cakap kat mom nie ye..?” hati berbisik.

Anggaran 2 minggu juga tu untuk berada disana dari 2 Jan – 14 Jan 2018

Mom, kalau Allah izinkan Enal teringin nak beri bantuan di Syria, dalam masa sama nak kongsikan pengalaman yang sebenar agar penyumbang tahu kemana sumbangan pergi dan barangan apa yang diberi kepada orang-orang Syria tu.

Sebenarnya dalam kereta semasa pandu pulang dari pejabat memang berdoa dalam hati Ya Allah lembutkan hati ibuku agar memberi kelapangan dada untuk restu dan memberkati perjalanan aku dan rakan-rakan disana nanti.

Itulah dia keajaiban doa dan ini jawapan dari ibu saya; “Enal doa pada Allah mom yakin akan makbul, selamat ke?
Senyum lebar terus.

Dan terus bagitahu ibu saya sebenanya saya telah dipilih untuk menghantar bantuan Misi Musim Sejuk Syria di Turki.

2 Jan 2018

Berangkatlah saya, Ya Muhammad, Presiden MVM, Mohd Haniff, Ketua Unit Media MVM dan Mohd Zarf, Unit Media dari Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) ke Turki.

MLLFS adalah rakan NGO yang bersama membantu logistik dan gerak kerja untuk kami menyantuni saudara Syria yang menetap di sempadan Turki.

Kerana amanah dari rakyat Malaysia, kami tekad untuk pergi ke Turki lagi sekali untuk menghantar sumbangan RM200,000 dan kami yakin dana ini mampu untuk meringankan sedikit bebanan disana walaubagaimanapun ia tidak akan cukup untuk dibayar ketabahan dan kekuatan mereka mengharungi hidup dalam serba kedaifan.

3 Jan 2018 – 913 pagi waktu Turki

Syukur Alhamdulillah.. perjalanan yang mengambil masa lebih dari 16 jam dan selamat sampai ke Gazeantep, Turkey

Kami semua turun naik 3 buah kapal terbang dan dalam jiwa kerdil ini ada rasa gembira dan terharu kerana yakin setiap langkah Allah akan berkati dengan nikmat ilmu.. nikmat tenaga.. nikmat pengalaman.

KLIA 1 > Dubai ( Transit 5 jam) > Istanbul Ankara International Airport > Sabiha Airport > Gaziantep

Sampai destinasi jer.. malam sudah dalam pukul 10.00 malam waktu Turki.. .
WOW SEJUUUK BAK HANG – 10°C, lagi sejuk dari bilik meeting pejabat! Pakai tshirt lengan pendek kerana anggap orang Asia mestilah kalis sejuk namun rupanya saya gagal tapi manis memori tu. Saya terus berdiri tegak pada satu sudut membelakangi lapangan terbang sementara menunggu rakan NGO kami yang telah lebih awal berada di Turki.

Tiba-tiba terdengar; “Syed rindu mom kee tu?” – kawan-kawan suka menyakat.

Sebenarnya saya sedang tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-perlahan sebab nak tengok mulut berasap…. (impian hidup nak melihat wap kondensasi dari mulut  tercapai) – senyum sorang-sorang.

Rakan kami dari Malaysian Life Line For Syria (Aiman & Nadiah) sambut kami dengan ramah sekali kemudian terus di bawa pergi makan malam di restoran yang masih buka.

Murah rezeki kami, masih ada kedai makan yang buka sampai lewat malam dan kami semua order ayam popcorn sebab kalu boleh tak nak makan terlalu berat..

ZAAAASSS atas dulang ayam popcorn mcm satu penumbuk bayi 1 tahun tergamam kami sebab kalau di Malaysia ayam popcorn besar kuku ibu jari je..

Sampai sahaja di rumah penginapan memang terasa letih dan kami di nasihatkan untuk segera berehat kerana perjalanan hari esok akan mengambil masa yang panjang dengan aturcara program yang penuh. Walaupun malam tidur dengan alat pemanas bilik tetapi rasa sejuk 0’C mengigit ke tulang; syukur berbekalkan lemak yang masih ada di badan ini, kawan-kawan yang kurus cuba mencuri haba dibadan. (baru tahu kepentingan ada kawan debab)

MENGHANTAR SUMBANGAN KE PUSAT PENDIDIKAN ASH SHAM, SYRIA.

Paginya kami dimaklumkan untuk membeli barangan memasak untuk anak yatim dan ibu tunggal warga Syria, setelah itu akan terus ke sekolah mereka untuk agihan kasut sekolah kepada 120 orang anak yatim di Tadika Ash Sham.

Jelas kesemua mereka sudah tiada ibu bapa malah ahli keluarga, dari sinar mata dan sambutan manja yang diberikan kepada kami, sangat membuatkan kami rendah diri dan benarlah kebiasaanya orang yang susah adalah lebih pemurah walaupun mereka diberi dugaan dari Illahi.

Pemurah mereka membuatkan kami berasa tenang dan sayu menusuk ke sanubari. Berebut-rebut mereka nak cium pipi saya, dihati saya, saya niatkan untuk seluruh para penyumbang. Selesai agihan kami terus berjumpa dengan pengetua sekolah tersebut dan beliau melahirkan rasa terharu diatas sumbangan yang telah diberikan kepada kepada anak-anak sekolah tersebut. Mereka berdoa agar dipermudahkan segala urusan kami dan turut berkongsikan perancangan masa depan beliau untuk tadika teresebut. Apa yang menarik di Pusat Ash Sham ini, mereka menyediakan platform pendidikan untuk anak-anak yatim Syria dan turut menyediakan peluang pekerjaan untuk penjanaan pendapatan ibu-ibu tunggal Syria disitu.

MEMBANTU IBU-IBU TUNGGAL SYRIA MEMASAK 300 PEK NASI KABSAH UNTUK ANAK YATIM SYRIA.

Sekarang kami sudah siap sedia untuk mengangkat periuk-periuk besar untuk dibungkus dan diagihkan kepada ibu-ibu tunggal dikawasan berdekatan sekolah. Memang telah ada pusat khas yang membantu agihan tersebut jadi mudah juga urusan kami kerana kesemua mereka telah menerima kupon dan setiap keluarga akan menerima bungkusan nasi kabsah beserta air susu.

Semasa saya menceduk nasi kabsah memang sengaja saya isi sampai penuh kerana jauh disudut hati moga mereka dapat makan dengan puas dan terdetik memikirkan nikmat mana yang Allah berikan kepada saya dan adakah saya bersyukur atau sentiasa merungut?

Nauzubillah, ampunkan dosaku ya Allah.

Alhamdulillah, hampir 300 nasi kabsah berjaya diedarkan.
Aktiviti masih belum selesai kerana hati ini tidak sabar-sabar nak makan malam dengan anak-anak yatim Syria teringin sangat nak rasa suasana makan bersama mereka dan sememangnya sangat meriah! Suasana terasa bagaikan sebuah keluarga dan langsung tidak ada rasa yang kekok. Kami ketawa bersama, mereka berebut-rebut membuat persembahan dan yang paling manis apabila disuapkan nasi kabsah kepada saya. Allahhu.

Tidak mampu berkata apa-apa – hari yang indah

6 PERIUK BESAR NASI MANDY UNTUK 15,000 PELARIAN SYRIA

Hari berikutnya kami wajib bangun seawal 730 pagi dan van telah tunggu siap siaga untuk ke daerah Kilis iaitu sempadan Turki-Syria untuk membantu memasak 6 periuk besar Nasi Mandy untuk 15,000 pelarian Syria.

Perjalanan mengambil masa kurang 2 jam. Dalam perjalanan, tiba-tiba pasukan polis telah menahan van kami..
.

“Show me your passport Sir” (sambil senyum)
.

Ini memang prosedur biasa untuk keluar masuk Kilis dan ada 2 kawasan semakan.
.
Perjalanan diteruskan dan kami telah berpeluang untuk berjumpa Mufti Kilis iaitu Mahmut Karatepe.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam ini membincangkan pelbagai perkara membabitkan peranan masing-masing bagi membantu pelarian Syria. Salah satunya adalah usaha bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup melalui pembangunan modal insan khususnya aspek pendidikan.

Setelah itu kami dibawa untuk melihat tempat memasak untuk 15,000 pelarian dan apa yang lebih membanggakan adalah ia adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia.

TERIMA KASIH RAKYAT MALAYSIA !

Sangat besar tempat ni. Satu bangunan khas untuk memasak sedang dibina bagi menampung keperluan pelarian Syria ini. ALLAHUU.. besar pahala anda semua.

Sementara pembinaan disiapkan, khemah-khemah dan kontena yang masih sempurna digunakan untuk menyediakan makanan. Saya masuk ke dalam kontena dan terdapat 6 periuk besar untuk memasak nasi dan 8 periuk besar untuk kuah kentang.

 Mufti senyum kepada saya dan rasa terharu dan rasa bangga apabila diberi peluang untuk cedokkan nasi dan mengangkat periuk agihan ke dalam lori khas..

Mufti maklumkan tidak semua boleh diberikan kebenaran untuk masuk dan setelah berbincang bersama pasukan, kami dicadangkan untuk berpecah 4 orang masuk Syria dan 2 orang lagi akan uruskan program di sempadan.
.
Ya Muhammad, Haniff, Aiman dan Nadia telah diamanatkan untuk masuk ke Syria tanpa sebarang kamera, itu syaratnya.

Ya Allah selamatkan sahabat-sahabat ku di dalam Syria itu nanti dan ini merupakan kali pertama diberi kebenaran dan imuniti untuk masuk ke dalam kawasan zon perang tersebut.

Saya dan Zarf terus gerak uruskan agihan bantuan di sempadan dan kami dibawa terus ke Sekolah Kita 2 yang telah dibangunkan oleh sekumpulan anak muda tempatan dari Cinta Syria Malaysia (CSM).

Cantiknya, teraturnya, tenangnya, subahanallah! Itu sahaja yang mampu saya ucapkan dalam benak hati. Pengetua sekolah terus memeluk dan cium pipi saya dan tidak putus senyumannya dan rupanya kanak-kanak sedang membuat persembahan demi persembahan untuk kami dan barulah saya sedar pesan rakan saya Nadia dari MLLFS.

“Syed, jangan menangis depan mereka ya, kerana kita datang untuk gembirakan hati mereka, mereka suka bernyanyi dan ini adalah salah satu cara untuk mereka lupakan kisah duka mereka.”

Saya segera keringkan kolam air mata sebelum berjurai dan segera agihkan baju dan pakaian sejuk untuk mereka sebab semua dah teruja untuk terima hadiah. Pengetua sekolah panggil saya dan Zarf lalu tunjukkan sekitar kawasan sekolah dan saya masuk kedalam bilik seni mereka, anak-anak ini melukis dari hati dari mimpi dari mata sakti mereka.

Lukisan rumah yang lompong-lompong, bangunan yang bertaburan, kereta kebal dan kerana ini memori yang mereka ada, ini yang mereka nampak dan ini yang mereka harungi pada usia yang muda.

Syukur mereka terselamat. Ada gambar orang lidi “bersayap” yang mereka lukiskan, dan mereka mengatakan “Ini adalah ibu bapa saya” dan Sayap itu melambangkan mereka sudahpun syahid.

AGIHAN BANTUAN SELIMUT TEBAL KEPADA KELUARGA DAIF SYRIA.

Rakan NGO, Bunyan (Bina Insn) telah bawa kami ke rumah keluarga daif untuk agihan selimut dan daripada 8 keluarga yang kami pergi, sebuah keluarga ini paling menyentuh hati saya kerana semua keluarga kecuali ayah sahaja yang celik yang lain semua buta azali.

Si Ayah berkata, “Aku malu kerana tidak dapat hidangkan apa-apa kepada kalian” dan saya kata “Memberi keizinan untuk kami masuk ke rumah ini adalah lebih bermakna” dan si ayah sebak dan kami ditarik olehnya untuk bergambar bersama dan niat dihati tidak mahu mengaibkan keluarganya yang buta tetapi dengan keizinan saya berasa wajib untuk saya kongsikan kepada rakyat Malaysia kerana sudahlah buta tetapi menghafal Al Quran untuk mengenyangkan diri dan keluarga.

Malam sebelum tidur kami rasa kerdil dan muhasabah diri bila terkenangkan keluarga buta ini, masyaallah.

BERHIBUR BERSAMA ANAK-ANAK SEKOLAH AL ANNUAR BALQIS

Pagi ini kami dibawa ke Sekolah Al-Annuar Balqis dan dibawa melihat keadaan sekolah. Sekolah ini memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Syria dan Turki. Kemudian, tiba-tiba saya dihulurkan mikrofon oleh pengetua sekolah tersebut dan anak-anak Syria terus jerit-jerit nama saya untuk membuat persembahan. Apa lagi nyanyi terus lagu zikir At-Tawwab dari kumpulan nasyid Far-East. Syukur diberi ruang untuk nyanyi tadi, dari satu lagu jadi dua lagu iaitu Terima Kasih oleh Aizat Amdan.

BERTEMU DENGAN HARTAWAN TURKI MEMBUATKAN KAMI AMAT SEBAK.

Pada sebelah malamnya, kami telah berangkat ke Sanil Urfa, sempadan Syria-Turki. Ia hanya dipisahkan oleh sebuah bukit dan ramai pelarian Syria yang mendaki bukit tersebut untuk memasuki kedalam Turki secara haram namun ada seorang hartawan ini telah memberi kebenaran kepada mereka semua untuk membina kehidupan dengan syarat bekerja bersama beliau. Mulia sungguh hati tuan hartanah ini siap ada sediakan tangki-tangki air khas untuk kem-kem kecil yang berada di atas tanah beliau.

Kami berhenti seketika di satu kawasan rumah untuk memberi bantuan mainan kepada anak-anak yatim dan ziarah keluarga-keluarga berdekatan. Saya terpaksa menahan air mata kerana kami dibawa berjumpa dengan dua orang adik-beradik dimana serangan udara telah membunuh ibubapa mereka dan serangan udara telah ‘membunuh’ mata Bilal, 9 tahun dan ia juga telah ‘membunuh’ tangan Ali, 7 tahun. Bayangkan, bagaimana Bilal dan Ali harus melalui hidup mereka pada masa akan datang dengan kecacatan kekal begini.

Kemudian kami dibawa pula bertemu dengan seorang kanak-kanak perempuan umur 7 tahun namanya Syam, emak dan ayah telah mati dibunuh dan beliau dipungut oleh orang yang berhati mulia di hospital. Kami beri mainan kepadanya dan dengar dia jerit.. “Baba…. Ada orang datang bagi mainan”.

Dia tiada memori bersama ibubapa kandung dan hanya menumpang kasih pada mereka yang disangka ayahanda dan bondanya. Tiba-tiba kami terdengar kanak-kanak jiran menangis dan meraung tak pasti kenapa tetapi Sham berlari deras keluar dan tunjukkan mainan yang dia dapat dan ajak kanak-kanak itu main sekali.

Malam kami tidur di rumah hartawan Sheikh Hamad, seorang yang baik dan berbudi. Beliau ada 11 orang anak lelaki dan 6 orang anak perempuan. Kekayaan hartanahnya dikongsikan kepada pelarian syria sedangkan beliau adalah orang Turki.

MASAK SUP AYAM MALAYSIA UNTUK 14 KELUARGA SYRIA

Paginya, saya dan Nadia masakkan sup ayam khas untuk 14 buah keluarga di kem pelarian. Ketua masak Nadia membawa rempah-rempah dari Malaysia dan apabila tengok mereka makan dan hirup sup kami, melihat mereka tersengih dan senyum walaupun pada asalnya malu untuk makan kerana tidak biasa rasa masakan sup ayam ala Malaysia. Bersyukur diberi kebenaran untuk masuk ke dalam salah satu khemah pelarian.

Keadaan dalam khemah mereka amat gelap, ada karpet dan tirai, berpasir tetapi kemas dan bersih. Aiman bagitahu jika kemas dan bersih maknanya dulu di Syria mereka adalah orang-orang kaya.

Saya tengok mereka memetik bunga kapas sebagai sumber pendapatan dan ada kambing biri-biri yang digembalakan. Sedang asyik memasak terlihat seorang anak lelaki umur dalam 8 bulan merangkak tanpa kasut, dia ketawa riang atas batu kecil yang mencucuk tapak tangan dia.

HIDUP DALAM GUA PADA ZAMAN MODEN INI

Beberapa hari sebelum misi tamat kami dibawa naik ke atas bukit melihat gua-gua di Sanilurfa.

Menariknya tengok bukit-bukit dan terbentuknya gua-gua. Jika zaman paleotik dan mesolitik mesti ramai yang akan duduk dalam gua.

Namun dalam benak hati saya, “Zaman nie mana ada dah”. Rupanya gua-gua ini telah dijadikan penempatan rumah pelarian Syria bagi 70 buah keluarga pelarian.

Bila lori kami yang membawa selimut tebal menghampiri kawasan gua terlihat anak-anak kecil berkejaran pasti rasa teruja dengan kehadiran orang luar yang membawa bantuan.

RAKYAT MALAYSIA, ANDA HEBAT DAN PEMURAH !

Saya dengan rasa rendah diri ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan dana untuk Tabung Kemanusiaan Musim Sejuk Syria. Dengan bantuan anda ini, beribu keluarga pelarian Syria menerima manfaat dari bentuk makanan asas, pendidikan & mainan kanak-kanak dan terutama sekali perlindungan dari suhu yang sangat sejuk.
Saya juga bersyukur kerana Allah memilih saya iaitu hamba yang kerdil lagi hina ini untuk menjadi saksi dan medium memberi bantuan disana.

Insyallah bantuan ini bukanlah yang terakhir. Melihat sendiri kedaifan hidup mereka sejak 7 tahun yang lalu disebabkan oleh kekejaman politik, kami terus bersemangat untuk menghantar bantuan bagi kelangsungan hidup mereka.

Sempena bulan Ramadhan yang akan datang, saya dan sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia akan menghantar bantuan pek berbuka puasa di kem pelarian Syria-Turki.

Kami sekali lagi mohon jasa baik rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan sumbangan ikhlas serendah RM15 sahaja untuk membeli 1 pek berbuka puasa untuk 20,000 rakyat Syria dalam Misi Bantuan Ramadhan : Syria, Kami Datang.

Boleh hulurkan sumbangan anda di website ini : https://donation.mvm.org.my/donations/mvm-rayu-bantuan-rm300000-untuk-misi-bantuan-ramadhan-syria-kami-datang/

Saya doakan setiap sen sumbangan anda ini menjadi pelindung kita di akhirat nanti dan asbab untuk kita sama-sama berjiran di syurga Allah. Amin. Oleh FB Syed Zainal Abidin

GAMBAR-GAMBAR MISI BANTUAN













The post Perasaan Anak Syria Hadapi Musim Sejuk Tanpa Baju Tebal. Bila Pi Sana Baru Tau. Allahu. appeared first on SAYALUVISLAM.

No comments