'Kami ingat dia saje buat mulut senget' - Doktor sahkan anak hidap Bell Palsy berpunca dari korek telinga


Penyakit Bell Palsy adalah sejenis penyakit berkenaan kelumpuhan atau kelemahan otot yang terjadi pada hanya sebelah muka. Penyakit ini disebabkan oleh kerosakan saraf yang mengawal otot muka dan menjadikan muka terasa berat sebelah. Pesakit boleh kehilangan deria rasa, masalah pengeluaran air mata dan air liur. 

Maizatul Amira berkongsikan mengenai penyakit yang dihidapi oleh anak saudaranya. Dia tidak menyangka demam Lala bukanlah demam biasa, tetapi kerana penyakit Bell Palsy. Menurut doktor, penyakit Lala ini berpunca dari kesan mengorek telinga. 

ASSALAMUALAIKUM. Ramai yang menghantar mesej kepada saya bertanya mengenai anak saudara saya yang sakit Bell Palsy tempoh hari. Jadi, saya sudah meminta kebenaran dari ibu dia untuk berkongsi tentang penyakit Lala ini dengan anda semua. 

Seminggu sebelum Lala sakit, dia demam dalam dua hari. Kemudian diberi ubat demam sahaja sebab memang selalu sediakan ubat tambahan di rumah disebabkan klinik terletak jauh dari rumah. Jarang bawa pergi ke klinik kerajaan sebab tak mahu menunggu lama. Jadi, kita bagi saja ubat yang dibeli dari klinik swasta tanpa memeriksa demamnya berpunca dari apa (sepatutnya kena periksa dulu). 

Selepas Lala makan ubat itu, dia sihat dan bermain seperti biasa dengan Annur. 

Pada 30 Januari 2018, malam itu dia selalu menggosok matanya. Mata dia berair seakan gatal. Saya yang jaga dia pada masa itu. Saya basuh muka dia dengan air bersih, takut terkena habuk atau apa-apa. Tetapi dia masih lagi menggosok mata. 

Tidak lama selepas itu dia bermain dengan Annur. Dia ketawakan kami tengok mulut dia senget dan dia selalu pegang bibir dia. Kami ingat dia saja buat mulut senget. Kami siap buat lawak lagi ikut dia buat mulut senget. Tak lawak okey, dia memang sakit. Sorry Lala. 

Pada keesokkannya, dia bangun tidur dan menangis seolah-olah berasa tidak selesa. Selalunya dia bangun tidur diam saja, baring dan kadang-kadang bernyanyi. Mak saya dukung Lala dan bertanya apa yang dia nak. Semua dia tak nak dan dia menangis semakin kuat. 

Masa itu baru nampak mulut dia bertambah senget dari malam tadi. Bila menangis, mata dia tak tertutup kedua-dua belah mata. Abah dah bising suruh bersiap pergi ke klinik. Semasa mereka pergi ke klinik, saya tiada bersama. Mereka pergi ke Klinik Utama di Segamat. 

Doktor yang memeriksanya terkejut dan berkata dia tidak pernah menerima kes seperti ini. Jadi dia buat surat rujukan kecemasan ke Hospital Segamat. 

Kemudian, M.A periksa dan kata gusi Lala bengkak. Dia beri ubat antibiotik dan perlu dimakan sehingga habis. 


Pada 1 Februari 2018, kami tidak berpuas hati apabila M.A itu kata gusi Lala bengkak. Kemudian ibu Lala mencari klinik swasta yang ada pakar kanak-kanak dan mereka pergi ke Klinik Mesra di Jalan Genuang. 

Doktor memeriksa suhu badan, telinga dan tekak. Katanya apa yang dialami oleh Lala memang penyakit Bell Palsy atau dalam Bahasa Melayu dipanggil sebagai sakit saraf ke-7.

Doktor kata, punca Lala terkena Bell Palsy adalah berpunca dari korek telinga dan mungkin terkena urat telinga. Apa yang doktor kataitu memang betul sebab sebelum kejadian ini, memang ada korek telinga Lala. Jadi, mungkin telinga dia bernanah dan kuman datang dan makan saraf muka. Sebab itu saraf muka mati dan muka menjadi senget sebelah. 

Doktor beri tiga jenis ubat, steroid dan dua lagi ubat yang entah apa namanya. Doktor kemudian beri tempoh empat hari untuk follow up semula. 


5 Februari 2018, selepas empat hari kemudian datang semula untuk buat pemeriksaan dengan doktor di Klinik Mesra. Doktor kata tiada perubahan dan masa itu kami sedih sangat. Doktor suruh berhenti ambil ubat dan terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi kami tengok macam dah kurang sikit mulut Lala senget selepas makan ubat itu. 

Namun, untuk keselamatan Lala, kami ikut saja kata doktor dan pergi ke HKL pada malam itu juga. 

Kami di HKL Bahagian Paed pada 7 Februari 2018. Doktor mengesahkan Lala sememangnya sakit Bell Palsy dan ia memang selalu berlaku selepas budak-budak demam. Masa itu virus senang merebak. Lala pula jenis antibodi lemah dan cepat sangat demam. Jadi doktor beri antibiotik dan steroid jenis tablet. 

Selepas beberapa minggu, banyak perubahan pada mulut Lala. Matanya pun sudah berkelip sekata. Mulutnya sudah tidak senget apabila bercakap. Alhamdulillah. 

13 Februari 2018, doktor memeriksa kesihatan Lala. Alhamdulillah Lala sudah sihat sepenuhnya dan tidak perlu lagi pergi ke hospital. 



Moralnya, jangan terlalu obses nak korek telinga anak dan biarkan tahi itu keluar sendiri dan bersihkan yang terkeluar itu sahaja. Bahaya untuk kanak-kanak, mereka tidak tahu nak jelaskan macam mana mengenai kesakitan yang mereka alami. 

Tolong berhati-hati ya semua. Dan kalau demam terus pergi periksa dan tidka perlu bertangguh. Jangan suap ubat sesuka hati kerana kita tidak tahu anak itu sakit apa sebenarnya. 


No comments