KKM gesa pesakit kencing manis, gout dan darah tinggi berhenti guna produk Gozout mengandungi 100% bahan aktif berbahaya
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa pesakit kencing manis, gout dan darah tinggi berhenti dari menggunakan produk Gozout susulan perharaman penjualannya kerana mengandungi 100 peratus bahan aktif berbahaya kepada penguna, lapor Harian Metro.
Selain itu, pengiklanan dan penjualan produk Gozout itu juga didapati mengelirukan orang ramai kononnya produk itu mampu menjadi penawar kencing manis, gout dan darah tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil maklumat yang diterima, pihaknya melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah merampas produk terbabit yang bernilai RM2.3 juta dalam serbuan yang dilakukan di negeri Kelantan dan Terengganu.
Katanya, hasil semakan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesahkan produk Gozout tidak berdaftar serta mengandungi 100 peratus bahan aktif dan melanggar peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Hasil semakan, kita mendapati produk ini mengandungi 100 peratus bahan aktif dan sepatutnya ia perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Bertindak atas maklumat itu, kita melakukan rampasan produk berkenaan di Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Penjual produk Gozout juga diberi amaran bahawa, jika mereka didapati masih menjual produk berkenaan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut Noor Hisham, bagi syarikat yang melakukan kesalahan menjual produk itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar berwaspada serta tidak terpengaruh dengan produk kesihatan yang banyak dijual di pasaran terutama penjualan dalam talian.
Post a Comment