'Bang, awak bawa balik siapa tu??'
Pekerjaan sebagai penjaga atau penggali kubur, menyimpan banyak cerita/kisah yang jarang sekali dikongsikan kepada orang ramai. Persepsi umum tak lain tak bukan, seram, menakutkan dan bermacam-macam lagi yang bermain di fikiran.
Kisah seorang penggali/penjaga kubur muda yang diceritakan oleh Ridhuan ini, boleh tahan juga 'kesannya' jika dibaca pada waktu malam. Ditambah pula dengan bunyi serangga di luar rumah, bonus pula jika cuaca hujan, meningkatkan lagi penghayatan membaca cerita ini (apa yang aku merepek ni?).
KALAU bekerja sebagai penjaga kubur atau penggali kubur, orang kata normal bawa balik 'benda tu'. Pengalaman yang dikongsi oleh seseorang.
Adli (bukan nama sebenar) berumur 30 tahun, menetap di kampung dan bekerja sebagai penggali dan penjaga kubur. Bukan atas terpaksa tetapi katanya warisan dan amaran daripada arwah ayah.
"Kalau takut nak kerja di kubur, kerjalah di tempat lain. Ayah tak paksa, nak. Kau tahu kerja ini tak menjatuhkan maruah pun," itu kata-kata ayah Adli sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Berbekalkan semangat, Adli menyahut pekerjaan ini. Dia tak nak bagi orang potong line. Biarlah dia galas walaupun banyak lagi pekerjaan di luar sana. Adli tidak pernah mengalami perkara ngeri lagi semasa dia bekerja di tanah kubur di hujung kampung. Alah orang baik Allah jaga. Tetapi kata-kata itu dia tarik balik. Sebab?
Ada satu malam Adli menjaga kawasan kubur selepas mendapat tugasan menggali kubur wakut malam. Orang telefon katanya nak tanam mayat pada waktu malam. Dia pun jalankan tugas. Tunggu punya tunggu, tak muncul-muncul. Mungkin kena tipu agaknya.
Adli kata apa salahnya kalau tunggu lama sikit. Mungkin ahli keluarga si mati ada hal yang lebih penting. Dia doakan yang baik-baik saja.
Masa menggali tadi jam 9 malam, sekarang dah hampir tiga jam menunggu, tak sampai-sampai juga. Ketika itu hanya Adli dan kawan baiknya sahaja, Zamrul (bukan nama sebenar). Zamrul kata dia tak boleh tunggu lama sebab ada perkara yang perlu dibuat. Jadi Zamrul pun balik dan tinggalkan Adli seorang diri.
Adli jarang mendapat tugas menggali kubur pada waktu malam. Kebiasaannya pada waktu petang, takpun pada waktu pagi. Hati terasa panas juga. Lubang kubur sudah siap tetapi keluarga si mati tak sampai juga.
"Tanam belakang rumah agaknya,"
Adli bengang sikit. Lama dia menunggu, siapa tak bengang? Nak ambil mood punya pasal, Adli tinggalkan tempat itu dan dia berjalan ke arah belakang. Ada laut, tanah perkuburan tepi laut. Angin malam sejuk ini boleh menghilangkan rasa marah, katanya.
Adli capai lampu minyak tanah yang dibawa bersamanya. Rokok dinyalakan. Angin tepi laut semua orang tahu anginnya agak kuat. Tetapi ada benda pelik yang berlaku pada Adli. Asap rokok yang dihembus itu bergerak perlahan dan asapnya tak berpecah.
Lampu minyak tanah yang dibawa tadi tiba-tiba terpadam sendiri. Berpeluh kejap dahi, rasa tak sedap hati. Adli pun bergerak semula ke tempat tadi. Masa dia berjalan, telinganya terdengar suara orang ramai menjerit-jerit meminta tolong. Ketika itu jam 12 malam, mana mungkin ada sesiapa yang nak buat prank di kawasan kubur?
Adli cuba selawat dan baca surah-surah lazim. Segala bunyi apa semua dia lupakan dan berharap dia tidak diganggu. Niat dia bekerja, bukan nak melakukan perkara yang jahat.
Adli tiba di tempat dia menggali tadi. Memang tiada orang pun yang datang, kena tipu. Adli pun ambil barang-barangnya dan simpan semula di stor yang ada di tanah perkuburan itu. Ambil botol air, letak dalam bakul motosikal dan balik.
Ketika motosikal Adli lalu di bawah pokok besar yang tidak jauh dari tanah perkuburan itu, tiba-tiba bulu tengkuknya meremang, seram sejuk. Bukan dia minta, dah benda itu rasa sendiri.
Tengah elok-elok tunggang motosikal, tiba-tiba terasa berat. Dah nak sampai rumah dalam 30 meter lagi sampai. Tetapi beratnya hanya Tuhan saja yang tahu. Badannya dah bermandi peluh, berhenti sekejap untuk periksa tangki minyak ada banyak mana lagi. Periksa tayar, tapi tak pancit. Benda tersekat pun tak ada. Adli tak fikir yang bukan-bukan, tetapi dia berharap benda itu tidak menganggunya.
Sampai saja di kawasan rumah arwah neneknya (rumah itu dah jadi rumah Adli dan isterinya), dia panggil isteri buka pintu. Diketuk-ketuk pintu, namun tiada yang menyahut.
"Takkan dah tidur?"
Adli pergi ke luar dapur dan menjerit. Nampak isteri dia di bilik air. Semasa isteri dia buka pintu depan, dah macam orang nampak hantu. Belum sempat Adli masuk, dia dah tutup pintu. Terkejut besar Adli dibuatnya. Terketar-ketar suara isterinya dari dalam rumah.
"Bang, awak bawa balik siapa tu??" soal isterinya dari dalam.
Mana tak menangis, memang isteri dia nampak benda itu di atas motosikal suaminya. Adli dah pucat seperti orang hilang sel darah merah. Isteri suruh dia hantar balik benda itu. Tak sanggup nak tengok dengna rambut panjang berserabai, katanya.
Adli dah ketar lutut pada waktu itu, terduduk sekejap di tangga rumah tetapi dia tak nampak apa-apa. Hanya dapat merasa bahang seram sahaja. Semua bulu roma di badannya naik. Nak tak nak, Adli kena patah balik ke tanah perkuburan.
Sepanjang berada di tas motosikal dan menuju semula ke tanah perkuburan, Adli tak berhenti-henti membaca segala surah yang dia tahu. Berat memang berat tetapi sampai juga ke tanah perkuburan.
Bila sampai saja, Adli turun motosikal dan tarik nafas. Selepas itu baca ayat kursi dan ayat-ayat lain. Dia minta benda itu balik semula ke tempat asal dan jangan ganggu dia lagi. Adli tak nampak dan dia tak tahu sama ada benda itu dah pergi atau belum.
Agak lama dia menunggu. Adli hanya dapat tahu benda itu dah pulang ke tempat asalnya apabila pokok di sebelah stor tadi bergoyang-goyang. Dengar suara mengilai-ngilai sahaja. Adli dengar, terus start enjin motosikal dan cabut balik. Basuh yang dah kering, basah semula dek peluh.
Alhamdulillah dia balik tanpa benda itu mengekorinya lagi. Isteri dia pun cuak tadi. Lebih pelik lagi bila Adli check balik panggilan yang dia terima tadi tak ada dalam panggilan terkini. Ah sudah! Siapa pula yang call?
Adli kata, semua benda itu cuma mainan iblis untuk menakutkan manusia. Dia tidak pernah berputus asa bekerja di tanah perkuburan itu. Itu semua dijadikan sebagai penguat semangat. Lumrahlah kena kacau, normal kata Adli.
Moralnya, semangat kena kuat seperti Adli. Yang penting iman di dada perlu penuh. Iman tebal bukan syaitan dan iblis saja yang takut, perangai member yang macam setan pun tak berani nak dekat dengan kau. Hahaha! (Ayat last tu bergurau je).
Sumber/Penulis asal: @Ridhuan
Post a Comment