Suri rumah curi 2 peket Milo dipenjara 14 bulan
Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di Marang, Terengganu pada 25 Mei lalu.
Tertuduh, Suhaini Mohd, 45, yang juga penagih dadah terdahulu membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Suhaini didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati mencuri selepas pemilik pasar raya mengesan perbuatannya itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pemilik kemudian mengekori tertuduh yang nekad melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang.
Tertuduh bagaimanapun berjaya ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, selepas menyemak nombor pendaftaran motosikal miliknya pada 6 Jun lalu.
Difahamkan, tertuduh yang mempunyai empat anak itu memiliki tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada 2019 dan 2021.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwaan Othman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Utusan Malaysia, Free Malaysia Today
Post a Comment