'Dia pesan, jaga diri baik-baik' - Wanita hamil bersama 2 keluarganya hilang selepas rumah dihanyutkan arus deras banjir di Baling

Foto Bernama


Tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil empat bulan dipercayai hilang selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling petang semalam.


Abd Rahman Said, 71, berkata ketiga-tiga mangsa ialah isterinya Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.


Katanya ketika kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang, menantunya itu sempat menelefon memberitahu keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah terbabit.


"Ketika kejadian saya tidak berada di rumah dan bila menantu telefon saya beritahu dia saya dalam perjalanan balik. Tapi dalam perjalanan balik itu banyak halangan di jalan raya. Jadi saya lambat sampai ke rumah.




"Apabila sampai saya lihat jambatan dah tak ada sebab dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai hari ini.


Abd Rahman berkata isterinya yang terlantar kerana strok ditemani menantunya yang sedang mengandung anak sulung serta anak tirinya di rumah itu.


Katanya mereka mungkin tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.


Minta balik jaga emak


Tambah Abd Rahman, kejadian banjir itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu yang menyebabkan rumahnya musnah 100 peratus dan dihanyutkan arus.


"Setakat ini saya belum terima apa-apa berita mengenai nasib mereka, tapi saya berharap mudah-mudahan mereka selamat. Tapi jika ditemukan tidak selamat sekalipun saya reda," katanya sambil mengesatkan air mata.




Sementara itu, suami Nurul Hanis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isteri melakukan pemeriksaan kandungan.


Kata Khairul Ashraf, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai rumah yang didiami isterinya itu telah hilang dibawa arus deras.


"Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri saya minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak untuk jaga dia sebab emak saya kena strok," katanya yang mendirikan rumah tangga pada Feb lalu.


Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya itu sempat meninggalkan pesan supaya menjaga diri baik-baik.


"Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia," katanya.


Khairul Ashraf berharap isterinya dan ahli keluarganya yang lain dapat ditemukan dengan selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.


Nafi ada mangsa korban ditemukan


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat mengesahkan polis menerima laporan mengenai kehilangan tiga individu itu dan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan kesemua mangsa, namun setakat 2 pagi tadi pihaknya belum menjumpai sebarang petunjuk.


"Pada malam ini (tadi) operasi tidak dapat diteruskan memandangkan tempat itu gelap, ada takungan air dan keadaan berlumpur. Pada petang tadi (semalam) kami meninjau lokasi kejadian dan mendapati rumah tersebut telah musnah," katanya ketika ditemui di PPS sama.


Shamsudin berkata operasi mencari kesemua mangsa diteruskan semula pada 7 pagi ini dan akan memperluaskan kawasan pencarian dengan pembabitan anggota daripada pelbagai agensi.


Dalam perkembangan sama, Shamsudin menafikan dakwaan yang mengatakan seorang mangsa ditemukan terkorban dalam kejadian banjir itu seperti yang tular dalam media sosial.


Menurutnya, setakat ini dua mangsa disahkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan yang telah dibawa untuk rawatan di Hospital Baling.


"Mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an mengalami cedera ringan dan dalam keadaan stabil dan selamat. Saya berharap orang ramai tidak menyebarkan perkara yang tidak betul berkenaan kejadian ini,” katanya.


Sumber: Bernama

No comments