Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun dalam tempoh 2 minggu - Annuar



Pasukan Jihad Tangani Inflasi (PJTI) menjangkakan harga minyak masak berasaskan kelapa sawit tidak bersubsidi akan menurun dalam tempoh dua minggu ini susulan dari penurunan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia. 


Pengerusi PJTI, Annuar Musa berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) serta pengilang berkaitan untuk menurunkan harga secara berperingkat.


"Kita juga bersetuju untuk membuat semakan harga secara mingguan jika pelaksanaan penurunan nilai ini dilakukan segera. Inisiatif terbabit diambil bukan untuk memaksa mana-mana pihak, sebaliknya berharap supaya industri berkenaan lebih bertanggungjawab. 


"Jangan biarkan kerajaan terkial-kial dalam masalah ini sebab akhirnya syarikat juga yang akan menentukan. Dalam masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada persatuan pengeluar minyak yang bersetuju dengan cadangan untuk menyegerakan penurunan harga dengan kadar segera. 


"Pasukan kami akan terus meneliti langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menangani inflasi dalam negara dan tidak akan membiarkan situasi berkenaan berlaku terlalu lama demi kebaikan bersama," katanya. 


Jelas Annuar lagi, inflasi yang sedang dihadapi negara sudah dijangkakan kerana ia berlaku secara global yang dipengaruhi oleh krisis perang Rusia dan Ukraine, pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang. 


Sumber: Harian Metro

No comments