'Kalau tak suka, terima kasih' - Dikecam buat cover lagu Tiara, Raffa enggan peduli kritikan netizen
Raffa Affar, penyanyi cover Indonesia yang baru-baru ini dikecam pelbagai pihak dan individu susulan tindakannya menyanyikan lagu popular, Tiara dari kumpulan Kris, dengan alunan dan nada dianggap tidak sesuai, tampil menjelaskan bahawa dia hanya mengikut arahan dari syarikat rakaman.
Raffa yang mempunyai lebih empat juta pengikut di TikTok berkata, setiap orang bebas memberikan pendapat dan dia tidak boleh memaksa orang untuk suka atau sebaliknya.
"Kalau mereka suka, Alhamdulillah, kalau tak ada yang suka, berterima kasih juga. Versi nyanyian saya ini juga adalah arahan daripada syarikat rakaman dan sudah dipersetujui oleh penerbit. Jadi, saya tak buat sesuka hati," katanya.
Jelas pelantun lagu Cinta Sampai Mati itu berkata, dia tahu lagu Tiara popular pada 1991 di mana liriknya sangat puitis dan memilih lagu berkenaan untuk dinyanyikan semula mengikut versinya sendiri.
"Saya tahu lagu itu popular pada 1991, saya tahu daripada syarikat rakaman dan saya pun mendengarkannya. Jadi, saya suka lagu yang mendayu-dayu sebegitu. Saya cuba membuat versi 'cover' sendiri.
"Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya berasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini. Lirik lagu Tiara ini sangat puitis dan saya mahu dengarkan lagunya yang lain," katanya.
Dalam pada itu, Raffa berkata, dia dalam perancangan untuk membuat 'cover version' lagu daripada Dinamik dan Lestari. Malah, dia juga meminati kumpulan Floor 88 dengan lagunya berjudul Hutang yang dikatakan sangat popular di Indonesia.
"Insya-Allah, saya juga akan berduet dengan penyanyi Malaysia iaitu Aiman Tino atau Khai Bahar. Jadi, doakan semoga perancangan ini dapat dicapai," katanya.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment