Bayi 8 bulan maut dengan kesan kecederaan di badan

Foto Hiasan Sahaja


Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di bahagian badan, dalam kejadian di Sungai Siput dekat Ipoh semalam.


Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata polis menerima maklumat berkaitan kematian bayi itu kira-kira 7.15 pagi.


“Bayi itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.


“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati ada kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan akibat objek tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Khaizam berkata susulan kejadian itu, polis menahan reman ibu mangsa berumur lingkungan 30-an selama tujuh hari hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


"Mangsa adalah anak tunggal dan tinggal bersama ibunya yang sudah bercerai sejak enam bulan lalu.


"Ibu mangsa direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut jika ada individu lain terbabit dalam kes ini," katanya.


Sumber: Bernama, Harian Metro

No comments