'Mengapa tiket (konsert Dewa 19) sold out? Sebab teruja kan?' - Ustaz Ahmad Dusuki luah rasa kecewa



Dewa 19 dijadualkan membuat persembahan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 10 September ini sempena Konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19. 


Kedatangan kumpulan popular dari Indonesia itu dilihat mendapat sambutan hangat dari para peminat di mana tiket konsert telah habis dijual dalam tempoh kurang dari satu jam sejak dibuka pada Isnin lalu. 


Justeru, penganjur konsert berkenaan, Icon Entertainment sedang mempertimbangkan untuk menambah lagi penjualan tiket konsert atau penambahan hari dan keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat. 


Bagaimanapun, pendakwah agama, Ustaz Ahmad Dusuki meluahkan rasa kecewanya dengan laporan berita tersebut kerana orang Islam dilihat lebih gemar memilih menghadiri program hiburan berbanding program agama yang tidak memerlukan tiket. 


"Mengapa tiket sold out? Sebab teruja kan? Gemerlapan dunia. 


"Masjid tak perlu tiket pun, majlis ilmu dan tazkirah, itu jalan syurga tak perlu bayar pun. Tetapi mengapa kita tak teruja? Sebab akhirat itu jauh? Kita dah akhirat senipis kulit bawang je! Bersiaplah," katanya menerusi Facebook. 




Di ruangan komen, netizen bersetuju dengan pandangan Ustaz Ahmad Dusuki dan tidak menafikan umat Islam kini lebih mengutamakan hiburan tanpa menyedari kematian semakin mendekati diri. 


"Setuju dengan statement ustaz ni. Nampak sangat mereka-mereka ini terlalu cintakan hiburan. Hidup dalam lagha, sedangkan kematian sentiasa dekat dengan kita," kata Rohani Abdul Wahab. 


"Kenapa dibawa masuk juga benda-benda yang lagha itu? Pihak kerajaan sepatutnya boleh sekat. Korea Utara boleh je sekat, kenapa tidak kita?" soal Kambing Golek. 


"Tak serik-serik dengan penyakit yang semakin banyak. Allah dah tegur pandemik Covid-19 hari tu, tapi masih kuat nak berhibur," kata Hafiz. 


Walau bagaimanapun, ada yang tidak bersetuju dengan teguran tersebut dan menyifatkan kenyataan pendakwah agama itu tidak wajar di mana mereka sepatutnya mencari jalan untuk mengajak umat Islam datang ke program agama, masjid atau surau dengan kaedah yang lebih 'advance'. 


"Saya cadangkan masjid pun boleh buat juga. Banyak lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan, selang seli dengan ceramah atau kuliah, ajak anak-anak muda turut serta, waktu solat berhenti dulu. Cara berdakwah sekarang dah kena advance," kata Mohd Haniff Sofian. 


"Relaks la ustaz. Saya pergi surau 4-5 kali dalam seminggu. Ada macam-macam majlis ilmu selepas maghrib dalam seminggu. Tak percaya, pergilah ke Surau Al Barakah Angkasa Nuri. Konsert ini kami pergi dua kali sahaja dalam masa 30 tahun, bukan setiap hari kami berhibur," kata Khairul Nazri. 

No comments