Guru yang didakwa melawak pasal gangguan seksual ditukarkan ke JPNS, sementara siasatan sedang dijalankan
Guru yang didakwa membuat gurauan mengenai gangguan seksual di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam seperti yang dilaporkan oleh pelajar perempuan baru-baru ini, telah dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) untuk siasatan dijalankan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan pelajar berkenaan berhubung kejadian yang berlaku pada 24 April 2021. Namun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai kes itu kerana masih dalam siasatan polis.
"Guru terbabit ditempatkan di JPNS sehingga siasatan tersebut selesai. Tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan siasatan kes," katanya.
Dalam pada itu, KPM juga memberi penjelasan mengenai surat amaran yang diterima oleh pelajar perempuan itu di mana pihak sekolah bertindak mengikut peraturan sedia ada.
"Pihak sekolah mengeluarkan enam surat kepada pelajar berkenaan antara 16 hingga 30 April lalu. Pemantauan kehadiran muid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
"Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak hadir berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, sistem ini akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama. Surat ini kemudian akan dipos kepada ibu bapa atau penjaga murid terbabit.
"Surat pemberitahuan itu dikeluarkan bertujuan memastikan ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mengetahui serta cakna akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan.
"Tindakan ini membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya," katanya.
24 April 2021, pelajar, Ain Husniza memuat naik video yang mendakwa seorang guru lelaki membuka gurauan mengenai gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di mana guru terbabit didakwa menyebut:
"Nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18 tahun, korang rogol yang atas 18 tahun."
Sejak video itu viral di media sosial, Ain Husniza banyak menerima sokongan dan tidak kurang juga kritikan sehingga ada yang mengugut mahu merogolnya.
Disebabkan situasi itu, Ain mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah kerana berasa tidak selamat dan tambahan guru terbabit dikatakan masih meneruskan tugasnya di sekolah itu seperti biasa.
4 Mei 2021, Ain Husniza memaklumkan di Twitter yang dia menerima surat amaran pertama kerana tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.
Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini
Post a Comment