Bapa beri anak berusia 2 tahun hisap vape sambil dirakam isterinya, direman 7 hari


Lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang memberi anak kecil itu menghisap rokok elektronik atau vape di mana videonya viral di media sosial baru-baru ini telah ditahan polis. 


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan di Setapak, pada Selasa, 4 Mei 2021. 


Pihak polis bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke kediaman lelaki itu semalam untuk membuat pemeriksaan. 


Ibu dan kanak-kanak itu kemudian diselamatkan dan dibawa dan ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan, sebelum menahan bapanya yang dipercayai terbabit dalam insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu. 


Siasatan awal polis mendapati, lelaki itu memberikan vape kepada anaknya, sambil dirakam oleh isterinya pada 2 Mei di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, Selangor. 


Suspek direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 


LAPORAN BERKAITAN:


Beberapa hari lalu, viral video berkenaan di media sosial mengundang kemarahan netizen yang menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ibu bapa kanak-kanak terbabit. 


Menyedari diri dan suami dikecam teruk, si isteri tampil menjelaskan dia bebas memuat naik apa jua kandungan di media sosialnya. Malah, menghalau mereka yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu untuk berhenti mengikuti akuan media sosial miliknya. 


Bagaimanapun, wanita itu berubah nada apabila mengakui tidak tahan dengan tekanan yang diberi oleh netizen. Dia turut memohon maaf dan meminta orang ramai berhenti dari menyebarkan video tersebut. 


Suaminya juga tampil mempertahankan isterinya dan menafikan dia dan isteri mendera anak lelaki mereka. Sebaliknya, dia mendakwa mereka hanya sekadar bergurau dan anaknya agak lasak, ganas dan suka bermain dengan benda yang bukan mainannya. 


"Dia agak lasak dan ganas, suka bermain benda yang bukan mainan dia atau budak-budak. Kalau dia nakkan sesuatu, mesti dia nak juga," katanya. 


Tetapi dalam video tular, jelas kelihatan di wajah kanak-kanak itu mengalami kesukaran bernafas setelah diberi menghisap vape. Sedangkan pada usia sebegitu dia tidak sepatutnya didedahkan dengan perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan pada diri. 


Sumber: Harian Metro

No comments