2 juta belia berusia 18 - 20 tahun boleh tuntut kredit e-tunai RM150 dari kerajaan


Kira-kira dua juta belia warganegara Malaysia yang layak dipelawa menuntut kredit e-tunai RM150 di bawah program eBelia bermula 1 Jun hingga 22 Julai ini, demikian menurut Kementerian Kewangan.


Kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai ini.


“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.


“Data belia akan disemak silang dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan,” menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataannya.


Tuntutan eBelia boleh dibuat melalui empat saluran penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay dan Touch ‘n Go e-wallet.


”Setiap tuntutan kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk ‘cashback’, baucar dan mata terkumpul oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,” jelasnya.


Menurut Kementerian Kewangan, golongan belia yang layak adalah mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata program eBelia dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) diwujudkan bagi meringankan beban kewangan serta menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia IPT.


Sumber: Bernama

No comments