'Anak saya sudah tiada...' - Anak maut ditimpa kerusi dibaling dari tingkat 17, ibu saman DBKL RM1 juta


Tiga tahun lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat dihempap kerusi yang dibaling dari tingkat 17, sebuah rumah pangsa di PPR Pantai dalam.


Ketika itu, mangsa yang juga merupakan pelajar di SMK La Salle, Petaling Jaya, dalam perjalanan pulang ke rumah, dihempap kerusi pejabat, menyebabkan mangsa maut serta merta di lokasi kejadian. 


Pihak polis sebelum ini membuka siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaaan kerana mengakibatkan kematian dengan perbuatan gopoh dan cuai. 


Dalam perkembangan terkini kes itu, ibu mangsa dilaporkan akan memfailkan saman RM1 juta terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan alasan mahu memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang di masa akan datang. 


"Anak saya sudah tiada, saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada remaja lain," kata ibu mangsa, S Kasthuribai. 


Sementara itu, Arun Doraisamy dari Sathiswaran Action Team berkata, selain menuntut pampasan kewangan, keluarga mangsa juga akan menuntut penjelasan dari polis mengenai siasatan kes itu yang kini. 


"Apa perkembangan terkini kes itu dan adakah diklasifikasikan sebagai 'Tiada tindakan lanjut' (NFA)?" soalnya. 


Menjelaskan mengenai tindakan saman itu, Arun berkata, keluarga mangsa akan memfailkan saman terhadap DBKL sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraann kawasan awam. 


Surat tuntutan telah dihantar kepada DBKL pada November 2020 dan sehingga kini tiada maklumbalas yang diterima. 


Sumber: Free Malaysia Today

No comments