(Video) 'Driver takde otak!' - Penunggang motosikal maut digilis lori dek pemandu buka pintu secara tiba-tiba
Gara-gara tindakan seorang wanita yang membuka pintu kenderaannya secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal berusia 38 tahun meninggal dunia akibat digilis lori.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.20 tengah hari Rabu, 27 Januari 2021, di Jalan Taming Sari, yang membabitkan tiga buah kenderaan.
Siasatan awal mendapati, mangsa, Yap Chee San, menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan menghala ke arah Taman Tasik.
Namun secara tiba-tiba, wanita berusia 52 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira membuka pintu kereta menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar sebelum terjatuh ke tengah jalan dan kepalanya digilis lori di laluan sama.
Video rakaman dashcam dari kenderaan saksi di belakang turut viral di media sosial yang jelas menunjukkan wanita berkenaan membuka pintu tanpa memeriksa keadaan laluan di belakang menjadi punca kemalangan tersebut.
Netizen juga berpendapat, tempat letak kereta di tepi jalan terutamanya di laluan utama sudah tidak revelan lagi kerana kepadatan jalan raya meningkat jauh lebih tinggi.
"Harap majlis daerah atau kerajaan peka. Bukan setakat bina kedai dan kutip sewa, cukai serta lesen saja. Saya pasti pengguna jalan raya tidak selesa bila lalu di laluan seperti ini sebab saya juga pengguna jalan raya," katanya.
Sumber: Kosmo, Info Roadblock JPJ/POLIS
Post a Comment