Jadi punca rider maut dalam kemalangan, warga emas cedera dipukul pengguna jalan raya
Seorang lelaki berusia 57 tahun mengalami kecederaan akibat dipukul pengguna jalan raya kerana menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dan beberapa lagi mangsa lain cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku pada jam 9.15 malam Sabtu, 9 Januari 2021 di Kilometer 13, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.
Difahamkan, warga emas yang memandu Proton Saga itu membuat pusingan U untuk kembali ke arah Sungai Petani. Mangsa berusia 22 tahun cuba mengelak ke kiri bagaimanapun gagal lalu melanggar bahagian belakang Proton Saga.
"Selepas itu, motosikal ditunggangi mangsa yang maut, sebuah lagi motosikal ditunggangi remaja berusia 18 tahun tidak sempat mengelak lalu keduanya melanggar bahagian kanan Proton Saga berkenaan.
"Seterusnya, Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 60 tahun juga tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan Proton Saga dan melanggar mangsa yang meninggal dunia itu.
"Kemudian penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 20 tahun yang juga operator kilang cuba mengelak ke kiri, lalu jatuh sendiri.
"Pemandu Proton Saga dan penunggang keenam tidak cedera, manakala penunggang motosikal kedua, keempat dan pemandu Perodua Viva cedera ringan.
"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan serius di kepala dan dada," katanya.
Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Saga itu dipukul dengan topi keledar oleh pengguna jalan raya lain menyebabkan dia cedera di kepala dan dibawa ke Balai Polis Padang Serai sebelum dihantar ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment