'Adik angkat konon...' - Pasangan kantoi sambut tahun baru di motel Kulim
Cubaan seorang lelaki memperdayakan anggota Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), kononnya wanita yang berada di dalam bilik motel adalah adik kandungnya, gagal apabila pasangannya itu pula mengaku bahawa dia hanyalah adik angkat.
Pegawai Penguatkuasa PADK, Azwan Azman berkata, pihaknya melakukan operasi pemeriksaan ke pusat penginapan sempena Tahun Baru dan menyerbu bilik motel berkenaan pada jam 1.15 pagi Jumaat, 1 Januari 2021.
Anggota PADK menunggu hampir lima minit sebelum pintu dibuka oleh lelaki yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar jenas. Pemeriksaan mendapati, ada seorang wanita yang bersembunyi di dalam bilik air.
"Pasangan itu cuba mengaburi pihak kami kononnya mereka adik beradik kandung dan adik angkat, namun helah itu tidak logik.
"Mereka gagal menunjukkan bukti hubungan mahram suami isteri menyebabkan mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat," katanya.
Siasatan mendapati, lelaki itu bekerja di kedai makan di Jitra, manakala pasangannya pula adalah penuntut institut pengajian tinggi di negeri itu.
Pasangan berusia 18 dan 19 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana kesalahan berkhalwat yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment