'Gaji aku RM1,200 tapi bos bayar RM127, katanya lupa tolak KWSP' - Jatuh terduduk lelaki ini dianiaya majikan
Beberapa bulan lepas, seorang kawan saya nak beli handphone baru. Setelah 7 tahun guna handphone lama, memang kena beli yang baru juga untuk memudahkan urusan harian.
Speaker rosak, bateri tahan hanya 30 minit. Kamera blur habis. Cuma dia minta bayar dua kali. Saya ok saja sebab dia ni memang pemurah. Masa guna kereta waja dulu, kalau rosak je dialah orang pertama akan bank in atau transfer walaupun saya tahu dia bukan ada duit sangat.
Tiba-tiba satu hari dia WhatsApp.
"Abu, aku bayar duit baki handphone nanti boleh?"
"Oh takpe. Take time bro. Ada masalah ke?"
"Takde. Cuma tu lah. Gaji lewat sikit"
"Bereh"
Saya pun ok saja. Moga dimudahkan urusannya. Cuma hati macam tak sedap. Ingat nak ziarah dia. Selang beberapa hari, saya pun pergilah ke kedai dia sebab kebetulan ada servis laptop berhampiran kedai dia kerja.
"Azri takde. Berhenti"
"Bila bos?"
"Saya tak tahu"
Bos dia pun macam layan tak layan. Saya telefon azri terus. Lima minit bercakap, saya terus letak dan pecut ke kawasan rumahnya. Saya nak dengar sendiri dari mulutnya.
Ya. Rupanya, dia dah berhenti kerja. Tapi dia tak bagitahu saya. Hari yang dia tak dapat nak bayar duit handphone yang dibeli, rupanya hari tu dia berhenti.
"Macam ni bu. Hari tu aku nekad berhenti sebab aku nak berniaga. Aku nak cuba kerja lain pula. Sebab kalau berniaga ni, aku ada masa dengan famili. Nak niaga depan rumah je"
Saya angguk dengar.
"Aku dah bagitahu bos sebulan awal lagi. Hari nak berhenti, bos bagi gaji. Aku pun pegang sampul macam nipis je. Biasa tebal. Sekali aku buka RM127 je ada. Gaji aku RM1,200. Aku terus patah balik tanya dia. Dia kata, dia lupa nak tolak KWSP aku. Jadi, kali ni gaji dia tolak bulan-bulan yang dia tak carum"
Allahu. Terdiam saya.
"Pastu, kau minta tak? Kau tak cakap dengan bos balik?"
"Aku tak tahu nak cakap apa. Aku tahan je. Aku minta ihsan dia. Kesianlah dekat aku. Sewa rumah lagi. Bil, anak bini. Aku memang down sangat masa tu"
Azri terus pulang. Masa dia menunggang motor, tiba-tiba ada kereta hon dan minta dia berhenti sebab pemandu tu kata dia bawa motor macam orang blur. Lampu merah pun langgar je.
"Aku memang blur bu. Aku tak tahu nak cakap apa. Dengan kos hidup yang tinggi ni, aku ada hanya RM127"
Berbulan berlalu, dia tak tahu nak buat apa. Setiap kali lepas subuh, dia akan ke surau. Lepas solat, menangis sampai tertidur. Tiada apa yang tinggal.
Satu hari, tuan rumah datang ketuk pintu. Dia terus ajak anak isteri menyorok dalam bilik. Tutup semua laptop. Dah dekat dua bulan tak bayar sewa. Dia rasa tuan rumah macam nak halau dia. Tiba-tiba tuan rumah bersuara dari luar.
"Azri, saya bukan nak minta sewa. Bukan nak halau awak. Saya nak bagitahu, kalau awak susah takpe. Sewa bulan lepas dan bulan ni saya halalkan"
Azri bagitahu, "Masa tu aku malu sangat. Aku keluar dan minta maaf berdiam diri pada tuan rumah". Tuan rumah kata takpe. Ada duit nanti bayarlah. Sementara nak cari kerja ni.
Kemudian esoknya, Azri cerita dia ke surau lagi selepas subuh. Habis solat, tiba-tiba ada seorang pakcik ni datang mendekati dia.
"Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam" jawab Azri.
"Kamu ni, pakcik tengok dah sebulan lebih tak tinggal subuh di surau ya. Hari-hari ada"
Azri tersenyum saja.
"Macamni. Pakcik ni ada kebun. Hasil jualan kebun tu pakcik memang tak ambil duitnya. Biasanya pakcik kumpul dan bagi pada sesiapa yang pakcik rasa nak bagi. Jadi, pakcik rasa nak bagi kamu lah. Boleh?"
Kawan saya Azri ni cerita sambil menahan sebak. Bertakung air matanya.
"Kau tahu bu. Aku ikut dia balik subuh tu, dan di tangan aku, pakcik tu bagi RM2,600. Dua bulan gaji aku yang bos aku tolak dan tak bayar sebulan lagi. Aku menangis sungguh. Aku terduduk kat situ juga"
"Pakcik tu pesan kat aku, Gunalah duit ni untuk mulakan hidup baru. Selesaikan semua hutang-hutang. Jangan putus asa. Allah itu Maha besar dan Maha Kaya."
Kalian, begitulah kasih sayang Allah pada kita. Biasanya, memang Tuhan akan buatkan kita menangis sungguh padaNya. Maka, sebelum kita nak marah-marah dengan ujian, nak menyalahkan keadaan, buntu di mana nak mulakan, nak selesaikan masalah dan lain-lain, kembalikan dahulu semuanya kepada Allah.
Mohon sedar diri yang kita ni tiada langsung modal untuk berdepan dengan dunia dan akhirat melainkan berharap belas kasihan Allah kepada hamba yang diciptakan penuh kegagalan! Kita semua sedar kalau gagal tandanya tak cukup menangis lagi! Nak berusaha sehabis mungkin guna kederat atau tulang empat kerat itu, sesungguhnya jauh lebih mudah daripada nak memberi airmata untuk Allah, menangisi dosa dan salah kita yang banyaknya.
Dia, iaitu Allah terlalu cinta kepada rayuan hamba yang memohon itu ini dariNya. Tuhan tunggu itu. Menunggu hambaNya datang merayu. Bersujud dan berlutut, hingga tersembam kerana mahukan Allah dahulu. Lalu, perlahan-lahan Allah ambil hati kita, dan Allah kembali berikan dunia semula.
Untuk kalian yang diuji begini, panduannya ada di atas. Percayalah, keajaiban itu ada pada mereka yang percaya. Percaya yang pertama. Beriman kepada Allah.
Sumber: Ustaz Abu Hurairah Asifa
Post a Comment