'Bunyi bising kenderaan mengganggu tidur saya' - Lelaki mohon maaf, bina 11 bonggol sehingga susahkan penduduk lain


Viral di media sosial sebelum ini perkongsian seorang guru mengenai tindakan jirannya yang membina 11 bongol di jalan utama kawasan kejiranan sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk lain. 


"Tiba-tiba wujud 11 bonggol baru atas jalan masuk ke rumah. Jadi saya terpaksa panggil kontraktor buat jalan baru ikut belakang. Malas nak bergaduh dengan orang gila buat-buat ni," kata Cikgu Li yang menetap di Kampung Padang Luas, Jertih.


Menurut Cikgu Li, individu yang sama katanya pernah meletakkan batu di tengah jalan bagi menghalang pengguna jalan raya memandu laju di jalan tersebut. Namun, tindakannya itu dikatakan tidak masuk akal kerana terdapat dua bonggol yang sedia ada di jalan tersebut, bersebelahan dengan rumahnya. 


"Pernah sekali bila Cikgu Li balik dari masjid, tiba-tiba dia muncul dari semak dan mengacukan parang. Cikgu Li pun undur kereta dan masuk ikut jalan lain," katanya. 


Bagaimanapun hari ini, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Nor Muhamad Roslam Harun, 40, tampil memohon maaf di atas perbuatannya itu. 


Nor Muhammad Roslam mengaku membina 11 bonggol berkenaan dalam jarak kurang dari 40 meter di jalan utama sehingga menimbulkan kesukaran buat penduduk lain. 


"Pagi semalam ada pegawai polis datang jumpa saya. Beliau menasihati saya dengan elok supaya membuang semua bonggol tersebut. 


"Jadi, semalam juga saya upah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ," katanya memetik laporan dari Bernama. 


Difahamkan, 11 bonggol itu dibina dengan kos RM1,080, sebahagian dari wang pengeluaran RM5,000 i-Sinar (KWSP). 


Jelasnya lagi, dia membina bonggol tersebut kerana terganggu dengan bunyi kenderaan yang kerap memandu laju di kawasan itu tanpa mengira masa. 


"Bilik tidur saya berada di bahagian tepi yang berdekatan dengan jalan itu menyebabkan bunyi bising kenderaan mengganggu tidur. Saya tertekan sangat dengan masalah ini, tambahan pula saya mempunyai masalah kesihatan (gangguan mental) tetapi masih belum lagi mendapatkan rawatan. 


"Sebenarnya saya mahu membina bonggol yang landai tetapi tar itu cepat mengeras menyabab ia menjadi bonggol tinggi sehingga tidak boleh dilalui semua kenderaan kecuali pacuan empat roda," katanya. 


Sumber: Cikgu Li, Bernama

No comments