Pesakit Covid-19 buat maksiat dalam bilik isolasi hospital, viral di media sosial


Viral di media sosial video berurasi 1 minit 30 saat yang menunjukkan aktiviti yang tidak bermoral dilakukan pasangan ini di Hospital Umum Daerah Dompu, Nusa Tenggara Barat, Indonesia. 


Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang pengasingan pesakit Covid-19 menunjukkan seorang lelaki dan wanita sedang melakukan hubungan intim seperti suami isteri di atas katil hospital. 


Menyedari video itu viral di media sosial, Pengarah Hospital, Dr Alief Firyasa Maulana mengesahkan video itu diambil dari salah satu ruang isolasi pesakit Covid-19 dan pihaknya telah membuat laporan polis. 


Menurut sumber, lelaki dalam video tersebut yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu adalah pegawai polis yang bertugas di daerah tersebut ketika menjalani pengasingan setelah menjalani ujian Covid-19. 


Ketua Polis Daerah Dompu, Syarif Hidayat berkata, pihaknya terus menjalankan siasatan setelah video yang didakwa membabitkan anggotanya itu viral. 


Bagaimanapun, polis masih belum menyoal siasat anggota berkenaan yang masih belum selesai menjalani rawatan. 


Sementara itu, wanita terbabit pula sudah dikenalpasti identitinya dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.


Dua kakitangan hospital berkenaan yang bertanggungjawab merakam dan menyebar video tersebut pada awalnya dijadikan saksi kini turut disoal siasat dan bakal dikenakan tindakan undang-undang kerana sengaja merakam adegan intim pesakit melalui rakaman CCTV dan menyebarkannya di media sosial. 


Kedua-duanya telah ditahan untuk siasatan lanjut. - Agensi

No comments