Isteri tikam suami selepas nampak gambarnya bersama perempuan lain - tanpa sedar itu adalah dirinya semasa muda


Seorang wanita yang mengesyaki suaminya curang selepas ternampak gambar lelaki itu bersama perempuan muda dalam telefon bimbit, telah ditahan polis kerana keganasan rumah tangga.


Lapor Yucatan Magazine, wanita terbabit yang dikenali sebagai Leonora N, mengambil pisau selepas menyangka suaminya curang tanpa mengetahui bahawa perempuan di dalam gambar tersebut adalah dirinya sendiri. 


Leonora ditahan kerana menyerang suaminya, Juan N, menggunakan pisau sehingga mengalami kecederaan.


Juan bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya mengelak serangan ganas isterinya itu dan sempat menjelaskan bahawa perempuan dalam gambar itu adalah Leonora sendiri, yang diambil beberapa tahun lalu. 


Difahamkan, gambar tersebut diambil ketika pasangan berkenaan keluar bersama buat pertama kali. Juan mengimbas gambar itu secara digital untuk simpanan peribadinya dalam telefon bimbit. 


Leonora dikatakan tidak mengenali gambar perempuan itu yang lebih muda, kurus dan memakai solekan yang membuatkan dia terus berasa cemburu serta menyangka suaminya curang. 


Mujur Juan sempat menjelaskan segala-galanya setelah dia berjaya merampas pisau dari tangan Leonora. Malangnya sudah terlambat kerana jiran yang terdengar bunyi pertengkaran mereka menghubungi polis. 


Polis tiba di kediaman pasangan itu susulan mendapat aduan dari penduduk yang terdengar jeritan dan pergelutan Leonora dan Juan. Polis juga mendapati, Juan telah ditikam beberapa kali di kaki dan tangan.


Leonora ditahan dan akan dikenakan tindakan undang-undang.


Sumber: Daily Star

No comments