'Saya mohon maaf, harap isu ini tak berpanjangan' - Noor Kartini akan batal permohonan jenama 'Harimau Menangis'


Pemilik syarikat Noor Khan Enterprise, Noor Kartini Noor Mohamed dilaporkan akan membatalkan permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis' untuk meredakan keadaan. 


"Saya memohon maaf dan sedar akan kekhilafan terjadi dan berharap keputusan yang saya buat hari ini dapat menjelaskan dan meredakan keadaan. 


"Saya membuat keputusan untuk membatalkan permohonan 'trademark' nama Harimau Menangis dengan secepat mungkin," katanya. 


Beliau menjelaskan, tujuan utama permohonan itu dibuat bagi melindungi perniagaannya daripada masalah produk tiruan. Tidak terlintas untuk menyekat rezeki mana-mana pihak. 


"Saya percaya rezeki kita masing-masing datangnya daripada Allah SWT. Diharapkan dengan penjelasan ini, isu ini selesai dan tidak berpanjangan," katanya. 


Terdahulu, netizen di media sosial mengkritik tindakan ibu kepada pengacara popular itu yang mendakwa jenama Harimau Menangis telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan sekali gus mendakwa mempunyai hak eksklusif terhadap nama 'Harimau Menangis'. 


Bagaimanapun semalam, MyIPO mengeluarkan kenyataan bahawa permohonan cap dagang bagi 'Harimau Menangis' masih berada di peringkat pemeriksaan dan meminta Noor Kartini untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama 'Harimau Menangis' sudah menjadi milik pihaknya. 


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN

No comments