(Video) Wanita maut, 4 lagi cedera dirempuh kereta dipandu laju di persimpangan


Padah memandu melebihi had laju, sebuah kereta terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain di persimpangan jalan di Parit Setongkat, Jalan Salleh, Muar, Johor. 


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian yang berlaku pada jam 2.07 pagi itu, seorang wanita maut, manakala suami dan anaknya mengalami kecederaan parah akibat dirempuh kereta yang dipandu dengan laju itu. 


Nor Aina Farahin Jai, 31, yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan, manakala suaminya, Muhammad Alliashia Othman, 37, yang memandu Proton Exora itu bersama dengan anak tirinya, Aliya Farhana Abdullah, 10, Alif Farahin, 7, dan Alif Siraj, yang duduk di kerusi penumpang belakang cedera parah di bahagian kepala. 


Difahamkan, mangsa sekeluarga pada ketika itu dalam perjalanan menghala ke Pagoh sebelum terbabit dalam kemalangan di persimpangan tersebut gara-gara pemandu Honda Accord memandu secara laju dan tidak sempat berhenti lalu merempuh kereta mangsa yang datang dari simpang kiri. 


Pemandu Honda Accord itu juga dilaporkan cedera di bahagian kaki dan masih tidak sedarkan diri. 



Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk diberikan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 


Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebuah kereta sedan terbabit dalam kemalangan yang melibatkan sebuah lori yang melanggar lampu isyarat merah. 


Dalam kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Rabu, 2 November 2020, mangsa yang baru meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, digesel sebuah lori yang jelas sekali melanggar lampu isyarat merah. 


Berdasarkan video viral dari dashcam saksi di belakang kereta mangsa, kereta Proton Saga yang berada di lorong kanan sempat memberhentikan kenderaannya dari terus bergerak ekoran ternampak tindakan tidak bertanggungjawab pemandu lori itu. 


Malangnya perkara itu tidak disedari oleh mangsa yang terus memulakan perjalanan sebelum bahagian hadapan keretanya digesel oleh jentera berat itu sehingga menyebabkan keretanya tersentak ke bahagian kiri. 



Tidak diketahui bagaimana keadaan mangsa, namun di media sosial netizen menasihatkan para pengguna jalan raya untuk memastikan keadaan jalan selamat di persimpangan lampu isyarat sebelum meneruskan perjalanan. Netizen juga berharap pemandu lori yang tidak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan tegas di atas kesalahannya itu. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

No comments