Tak dapat cash out RM3,100, suri rumah buat laporan polis terhadap skim pelaburan Like and Share


Lagi mangsa tampil membuat laporan polis skim pelaburan yang disertainya, Like and Share, setelah mengalami kerugian ribuan ringgit bila mana wang itu tidak dapat dipindahkan ke akaun banknya. 


Lapor Sinar Harian, mangsa berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah sepenuh masa dari Raub berkata, wang RM3,100 itu tidak dapat dipindahkan ke akaun banknya dan pihak syarikat pelaburan memaklumkan sistem mereka mengalami masalah teknikal. 


Mangsa yang menyertai skim pelaburan itu sejak awal November lalu bagaimanapun, mengesyaki dirinya telah ditipu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Raub semalam. 


Difahamkan, mangsa pada awalnya tertarik dengan tawaran menjana pendapatan melalui skim pelaburan itu selepas melihat iklannya di media sosial. Selepas menyertainya, mangsa diminta untuk menyelesai tugasan yang diberi melalui aplikasi khas itu dan juga ditawar melanggan pakej VVIP Actor. 


Mangsa yang terperdaya kemudian membuat pembayaran sebanyak RM3,000 melalui akaun banknya ke akaun bank syarikat berkenaan. Selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. 


Setelah menyelesaikan tugasan itu, mangsa memeriksa akaun e-Wallet dalam aplikasi tersebut dan mendapati ada kemasukan wang berjumlah RM700. Mangsa membuat pemindahan wang itu ke dalam akaun banknya tanpa sebarang masalah. 


30 November 2020, mangsa berjaya melengkapkan tugasan yang seterusnya dan semakan di e-wallet mendapati ada kemasukan wang RM3,100. Seperti yang sebelum, mangsa cuba memindahkan wang itu tetapi gagal berbuat demikian.


Tidak puas hati dengan perkara itu dan alasan yang diberikan oleh pihak syarikat berkenaan, mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu terus membuat laporan polis. 


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Sinar Harian

No comments