'Lempar sebab takut kena cakar' - Alasan suspek lempar kucing ke dalam semak


Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman, mengesahkan remaja lelaki yang melempar kucing dalam video viral di media sosial baru-baru ini telah ditahan pagi semalam. 


Beliau berkata, suspek berusia 19 tahun terbabit berasal dari Kampung Aru Baru, Sundar, Lawas, ditahan di rumahnya dan mengaku membuat rakaman video Tik Tok itu bersama dengan seorang lagi rakannya di Water Front Sundar pada 4 Disember lalu. 


Menurut suspek, dia pada awalnya menggendong kucing berkenaan sebelum melempar haiwan itu ke belakang sehingga terjatuh dalam semak samun. Suspek mendakwa dia terpaksa berbuat demikian kerana terkejut dengan kucing itu yang meronta-ronta meminta dilepaskan. 


"Untuk mengelakkan tercedera akibat gigitan atau dicakar, suspek mendakwa terpaksa bertindak demikian. Suspek diberi jaminan polis memandangkan dia seorang pelajar," katanya. 


Terdahulu video Tik Tok itu viral di media sosial mengundang kecaman netizen. Pihak Persatuan Haiwan Malaysia juga meminta orang ramai memberi kerjasama untuk mendedahkan maklumat mengenai suspek agar dia dapat ditangkap dan dikenakan tindakan. 


Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 


Sumber: Harian Metro

No comments