'Kamu miskin, tak mampu beli handphone' - Sakit hati dihina, suspek bunuh rakan sendiri di kebun
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui mati pada Isnin, 30 November 2020 di dalam kebun milik penduduk di Daerah Kalipare, Malang, Jawa Timur, Indonesia.
Susulan penemuan mayat mangsa yang dikenali sebagai Adit Pratama, polis telah menahan salah seorang rakannya bernama Santoso, 20, yang diketahui sebagai orang terakhir bersama dengan Adit ketika minum di warung kopi.
Ketua Polis Daerah Malang, Hendri Umar berkata, suspek dan mangsa merupakan kawan karib dan menetap di daerah yang sama. Motif suspek membunuh mangsa adalah kerana berpunca dari sakit hati dengan kata-kata mangsa yang menyebut dia miskin.
Mangsa dikatakan berkata sedemikian ketika mereka berdua minum di sebuah warung kopi dan pada masa itu juga Adit mempamerkan handphone baharunya kepada Santoso.
"Ketika mangsa sedang menunjukkan handphone itu, dia berkata kepada suspek 'Kamu miskin, tak mampu beli handphone'." kata Hendri.
Terasa dengan kata-kata Adit itu, Santoso kemudian mengajak Adit mencari burung di pasar dan Adit bersetuju tanpa mengesyaki ajakan itu sebenarnya akan menyebabkan hidupnya berakhir.
Sampai di sebuah kebun yang sepi, suspek bertindak memukul dan mencekik mangsa selama beberapa saat sehingga Adit tidak sedarkan diri. Suspek menyangka mangsa sudah meninggal dunia lalu beredar dari tempat kejadian.
Tetapi mangsa masih hidup dan sempat melarikan diri. Perkara itu disedari oleh suspek lalu bertindak mengejarnya dan sekali lagi suspek cuba membunuhnya untuk kali kedua.
Suspek berjaya menangkap dan mencekik mangsa sehingga benar-benar sudah tidak bernyawa. Suspek sempat menunggu di tempat kejadian selama dua jam sehingga jam 5 pagi, sebelum meninggalkan mayat mangsa yang ditutup dengan daun-daun kering bagi mengelakkan mayat itu dikesan orang awam.
Bagaimanapun usaha suspek itu gagal apabila mayat mangsa ditemui oleh dua orang awam pada jam 12 tengah hari yang kebetulan melalui jalan berhampiran dan terhidu bau busuk membuatkan mereka mencari punca bau itu sebelum menemui mayat mangsa, lalu segera dimaklumkan kepada para penduduk bahawa ada mayat ditemui di kebun.
Penemuan itu kemudian dilaporkan kepada polis dan mayat mangsa dikeluarkan serta dibawa ke bilik mayat Hospital Kota Malang untuk dibedah siasat.
Menurut keluarga mangsa, kali terakhir melihat Adit adalah pada jam 10 malam, Khamis, 26 November 2020. Adit dikatakan pergi ke warung kopi itu tanpa memaklumkan kepada mereka dan sejak dari itu dia tidak pulang ke rumah. - Agensi
Post a Comment