Suspek bunuh suami dulu, kemudian isterinya


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam sidang media yang diadakan di PTD Shah Alam petang tadi mendedahkan, pasangan suami isteri dibunuh oleh dua penyewa rumah mereka dengan menggunakan pisau lipat. 

Laporan bedah siasat mendapati, mangsa, Lim Ah Kee, 79, ditikam sebanyak tujuh kali di bahagian perut selain dikelar pada malam 23 Ogos lalu di kediamannya di kondominium di Subang Jaya. 

Mangsa dibunuh oleh dua suspek warga India yang tinggal bersama mereka di rumah berkenaan, di ruang tamu pada jam 10 malam. Mayatnya disumbat dalam bagasi dan dicampak ke longkang.

Isteri mangsa, Tan Siew Mee, 52, hanya mengetahui suaminya dibunuh selepas pulang ke rumah pada jam 2 pagi. 

"Selepas Tan mengetahui suaminya dibunuh dan mayatnya dibuang, berlaku sedikit kekecohan sebelum dia turut dibunuh dengan cara sama iaitu ditikam dan dikelar sebelum disumbat di dalam bagasi berlainan dan kemudian dicampak ke longkang di lokasi berlainan," katanya. 

Difahamkan, kedua-dua suspek itu merupakan adik beradik dan masing-masing berusia 19 dan 24 tahun, menetap bersama dengan pasangan itu sejak setahun lalu. Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat yang sama di Subang Jaya. 

Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat Lim di longkang berhampiran stesen LRT Alam Megah, petang semalam. Polis turut menemui pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa. 

Berdasarkan pengakuan suspek, mereka membawa bagasi berisi mayat kedua-dua mangsa menggunakan motosikal Honda EX5 untuk dibuang ke dalam longkang di dua lokasi berasingan. 

Suspek kini direman seminggu untuk siasatan dan akan didakwa di mahkamah.

Sementara itu, mayat pasangan itu masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan belum ada ahli keluarga yang datang menuntut mayat mereka. 

Sumber: Harian Metro

No comments