Budak 12 tahun cedera didera ibu saudara kerana tak basuh pinggan


Seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan dipercayai didera oleh ibu saudaranya kerana tidak membasuh pinggan. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang berusia 12 tahun itu mengalami bengkak di jari tangan, paha, punggung, belakang badan, benjol di dahi dan luka lama di kepalanya. 

Difahamkan, kecederaan mangsa disedari oleh pihak sekolah yang kemudian memaklumkan kepada ibu mangsa pada 21 Ogos lalu. 

Menurut ibu mangsa, anaknya dijaga oleh adiknya di Bandar Botanik dengan bayaran RM600 sebulan dan dia hanya datang melawat anaknya sebulan sekali kerana dia bekerja di sebuah kilang di Kapar. 

Berdasarkan keterangan mangsa, dia dipukul beberapa kali oleh suspek dengan kayu kerana tidak membasuh pinggan mangkuk. 

Bertindak di atas laporan polis yang dibuat, suspek berusia 38 tahun itu ditahan dan direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Mangsa dibawa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan. 

Sumber: Harian Metro

No comments