'Hentikan trend menu makanan pedas, ia tidak bagus untuk kesihatan' - Doktor


Trend makan makanan pedas kini semakin menjadi-jadi. Bermula dari mee segera dari luar negara, diikuti pula kedai atau restoran yang mahu menarik pelanggan lebih ramai dengan memperkenalkan menu pedas tak ingat dunia. 

Namun, tidakkah anda sebagai pengguna terfikir bahawa trend ini boleh menjejaskan kesihatan jika pengambilan makanan pedas tidak dikawal? 

Menurut Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan, kerap makan makanan pedas adalah tidak bagus untuk kesihatan kerana ia boleh menjejaskan penghadaman dan pencernaan. Bagaimana ia boleh berlaku? Baca penjelasan beliau:

SAYA rasa dah tiba masanya kita hentikan trend menu makanan pedas melampau dan cabaran makan makanan pedas. Ia trend yang boleh menjejaskan kesihatan.

Makanan pedas memang sedap dan menyelerakan. Namun, bila dah terlalu pedas, mana datang nikmatnya? Biasanya, bila dah terlalu pedas, orang akan makan laju-laju! Kunyah pun ala kadar je. Ini sesuatu yang tak bagus untuk. Penghadaman makan bermula dari mulut. Di mulut makanan perlu dihancurkan secara fizikal, iaitu dikunyah.

Selain itu di mulut pencernaan kimia juga berlaku. Enzim amilase dari air liur diratakan pada makanan semasa dikunyah. Fungsi enzim ni adalah untuk menguraikan kanji kepada unit karbohidrat yang lebih kecil atau gula ringkas.

Apabila tak kunyah sempurna, pasti penghadaman dan pencernaan terjejas. Jadi kita tak dapat sepenuhnya zat dari makanan yang kita makan. Rugi, kan?

Lazimnya semasa dan selepas makan makanan pedas, kita minum air dengan sangat banyak. Ini juga amalan yang tidak baik. Kita akan cenderung untuk isi perut, lebih daripada kapasiti maksimum perut kita.

Makan lebih kapasiti, serta makanan pedas ini menyumbang kepada faktor yang menyebabkan gastroesophageal reflux disease (GERD), iaitu kondisi dimana asid melimpah ke esophagus. Ia menyebabkan pedih ulu hati dan sendawa berasid.

Selain GERD, makan makanan terlampau pedas juga dikaitkan dengan keradangan perut(gastritis), ulser perut, dan buasir. Makanan pedas tidak menyebabkan penyakit-penyakit ini, tetapi ia akan parakan kondisi itu jika orang itu sudah sedia ada memilikinya.

Kalau dah tahu ada gastritis, ulser, dan buasir kenapa nak makan juga makanan terlampau pedas ni?Kerana ada cabaran-cabaran internet yang mengajak kepada hal itu. Kononnnya jika seseorang yang sahut cabaran tahan pedas lampau ni, dia akan dianggap hebat dan dipandang kool.

Siapa yang tanam anggapan ini? Kitalah! Kita yang menyemai persepsi itu melalui media sosial, dibantu oleh industri makaman dan minuman, sama ada perusahaan kecil mahupun syarikat gergasi. Berlawanan-lawan nak keluarkan menu yang paling pedas! Sampai ada pelanggan yang sakit perut berguling-guling, cirit-birit berterusan, dan buasir berdarah.

Jadi, kita jugalah bertanggungjawab untuk hentikan benda ni. Tak usahlah buat cabaran-cabaran tu semua lagi. Tak usah makan menu terlampau pedas. Makan pedas-pedas manja sudahlah. Haha!

Makanan yang kool, adalah makanan yang sihat!

No comments