'Selepas raya, doktor maklumkan bayi dalam kandungan mungkin alami komplikasi saraf tunjang'



Assalamualaikum 9bulan10hari. Mohon ibu-ibu yang tengah hamil ini mempertimbangkan perkara ini. Tolonglah jangan berpuasa kalau tidak mampu. 

Tiga tahun lalu, semasa bulan puasa, saya berpuasa dalam 22 hari walaupun hamil tiga bulan. Saya jarang loya dan muntah. 

Sudah banyak kali doktor beritahu jangan puasa sebab anak sangat perlukan zat dan nutrien semasa first trimester ini. Tetapi saya teruskan berpuasa sebab keadaan saya tidaklah teruk sangat. Hanya mengalami loya bila terhidu bau bawang saja. 

Selepas raya, ketika kandungan berusia lima bulan, doktor maklumkan bayi dalam kandungan tidak berkembang dan mungkin berdepan dengan komplikasi saraf tunjang. Lagipun, di awal masa mengandung, saya langsung tak makan folic asid. 

Doktor kata, kalau saya tak berpuasa, mengikat perut untuk makan makanan berkhasiat secara sedikit tetapi kerap masa bulan ramadhan, kemungkinan untuk anak saya lahir sihat adalah tinggi. 

Betul sis. Selepas anak saya dilahirkan, badan dia memang kecil dengan berat 1.9 kilogram sahaja, ditambah pula ada masalah di bahagian tulang belakangnya (spina bifida). 

Doktor kata, untuk anak berkembang dengan baik, masa kita makan perlu dijaga dengan betul dan makan secukupnya. Kasihan anak saya sekarang.

Nasihat saya, kalau anda mengandung dan tidak sihat, tolonglah jangan puasa. Makanlah makanan sihat. Jangan skip makan. Lebih baik sis ganti puasa nanti dari terpaksa membuatkan anak kita 'berpuasa' seumur hidup. 

SEBENARNYA, ramai ibu-ibu rasa bersalah kalau tak berpuasa sedangkan dalam Islam, ibu hamil dan ibu yang menyusu tidak wajib berpuasa, lebih-lebih lagi jika ia memberi kesan negatif pada diri dan kandungan. 

Bagi kes ini, si ibu terlepas pandang dua perkara. 
  1. Tak makan asid folik tiga bulan sebelum hamil di mana ia boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan saraf tunjang bayi. (Penyakit Spina Bifida dan Hyrocephalus). 
  2. Sejak tak makan asid folik, si ibu sepatutnya perlu makan lebih banyak sayur dan buah-buahan. Baiki semula mana yang terkurang dulu. Maknanya, jangan berpuasa langsung pada ketika itu. 

Perkembangan anak sangat bergantung kepada apa yang ibunya makan. Tolonglah jaga pemakanan anda. 

Ketika ini, ibu hamil boleh berjumpa dengan doktor dan minta doktor buat pemeriksaan serta berbincang mengenai puasa ini. Jangan malu meminta pandangan mereka. 

Ibu-ibu, tolonglah ambil tahu keadaan diri dan anak dalam kandungan. Kalau tidak sihat, usahlah berpuasa. Jangan paksa diri. Berjumpa dengan doktor dan doktor akan melihat beberapa faktor ini bila berbincang tentang berpuasa ketika hamil:
  • Adakah si ibu muntah atau loya teruk sehingga tak lalu makan?
  • Adakah kandungan si ibu dalam lingkungan 1-3 bulan?
  • Berapa jam si ibu berpuasa kerana ada negara yang berpuasa lebih lama berbanding negara kita 12-13 jam sehari. 
  • Ketika si ibu nak berpuasa ini, cuaca sejuk atau panas? Kerana cuaca panas boleh menyebabkan si ibu mudah dehydrate. 
  • Bagaimana kesihatan si ibu sebelum hamil. 

No comments