Lelaki mabuk maut selepas tumbuk cermin kedai
CHERAS, KUALA LUMPUR - Padah tumbuk cermin sebuah kedai, seorang lelaki mengalami penderahan teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian awal pagi semalam, saksi melihat mangsa dalam keadaan tidak stabil dan muntah dipercayai mabuk di bahagian lobi kondominium, Blok C, Alamanda.
Mangsa kemudian menumbuk cermin kedai dengan tangan sehingga pecah sebelum terjatuh ke lantai dan merangkak ke depan sebuah kedai serbaneka (60 kaki) dan terus tidak bergerak lagi.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, mayat mangsa berusia 28 tahun itu ditemui dengan kesan cedera di tangan kanan.
"Mangsa dipercayai mabuk selepas bertengkar dengan dua rakannya termasuk seorang wanita semasa melalui tempat kejadian.
"Mangsa kemudian ditinggalkan rakannya, kemudian mengamuk dan menumbuk cermin kedai komputer sehingga menyebabkan dirinya cedera parah di tangan," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - The Reporter
Post a Comment