'Jam 1 pagi, tiba-tiba ada orang suluh lampu dalam kereta'



Peringatan bagi warga Permatang Pauh dan Bukit Mertajam. Kejadian berlaku sekitar jam 1.00 pagi.

Semalam suami saya parking kereta di Stesen Petronas Taman Pauh Jaya berdepan dengan Politeknik sementara menunggu kedatangan rakannya. Dalam keadaan hujan renyai, dia asyik memerhatikan skrin telefon. 

Tiba-tiba ada seseorang menyuluh lampu ke arahnya dari luar tingkap kereta. Bila dipandang, seorang lelaki berusia sekitar 20-an, memakai helmet. Suami juga melihat dari cermin sisi, seorang rakannya sedang menunggu di atas motosikal di belakang keretanya. 

Suami saya hairan, kenapa nak suluh ke dalam kereta orang? Dia hanya memerhati sahaja tanpa melakukan apa-apa. 

Kemudian lelaki itu beredar dan kembali semula selepas lima minit kemudian, mula mengelap dan mengetuk tingkap berkali-kali. 

Tidak sedap hati dengan keadaan itu dan teringat malam sebelumnya seorang rakan suami telah dirompak di tepi jalan ketika sedang memberhentikan keretanya di kawasan berhampiran, suami serta merta menolak gear undur. Kereta mengundur ke belakang dan nyaris melanggar rakan lelaki itu yang sedang menunggu di atas motosikal. 

Kedua-duanya terkejut. Lelaki yang berada di tepi tingkap tadi terus berlari ke arah kawannya dan memecut laju ke jalan raya sambil melawan arus. 

Alhamdulillah tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku. Bukan mahu bersangka buruk tetapi Kalau mereka mahu meminta tolong, kenapa perlu melarikan diri? Perkongsian ini sebagai peringatan kepada orang ramai agar berhati-hati. 

No comments