'Kem motivasi neraka!' - 4 laporan ibu bapa dakwa anak-anak dikasari & diaibkan fasilitator (graduan universiti)



Polis menerima empat laporan dari ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka telah dikasari oleh fasilitator semasa menghadiri kem motivasi yang dianjurkan pihak sekolah di Serdang, Selangor baru-baru ini. 


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, pihaknya belum membuat sebarang tangkapan tetapi siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2021 bagi kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. 


"Semua pihak termasuk penganjur kem motivasi akan dipanggil untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya. 


Menurut laporan MalaysiaKini, kem motivasi itu dikendalikan oleh sebuah NGO yang dihubungi pengurusan sekolah. Kem yang dibuat selama dua hari itu disertai kira-kira 60 murid Tahun Lima.


Untuk menyertai kem itu, murid dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM20 bagi setiap murid di mana kem itu dijangka akan memberi manfaat dan keseronokan. 


Bagaimanapun pada Ahad lalu, kesemua ibu bapa murid terbabit terkejut apabila melihat anak-anak mereka pulang dalam keadaan sangat lemah dan menangis. Malah pada keesokan harinya (Isnin), ramai yang tidak hadir ke sekolah. 


Salah seorang bapa kepada murid memaklumkan, setelah disiasat barulah mereka mendapat tahu bahawa para fasilitator yang kebanyakannya merupakan graduan universiti telah melakukan pelbagai tindakan fizikal terhadap mereka. 


"Anak-anak kata mereka dihukum ketuk-ketampi hanya kerana berbual atau dihukum bercangkung selama 10 minit. 


"Murid-murid lelaki pula melalui pengalaman memalukan apabila dipaksa 'mandi' di padang sekolah dengan hanya berseluar dalam. Fasilitator kemudian menggunakan paip untuk menyembur air terhadap mereka.


"Salah seorang fasilitator juga telah mencekik seorang murid, menolaknya ke dinding, menamparnya beberapa kali dan memukulnya menggunakan penyapu. 


"Murid itu didakwa membawa vpae ke kem dan fasilitator berkenaan tidak berpuas hati dengan penafiannya semasa ditanya mengenai perkara itu," kata sumber. 


Sumber: Bernama, MalaysiaKini

No comments