Cemuh presiden, parti & berkempen untuk parti lain, Annuar Musa dipecat dari UMNO - Sumber
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan telah dipecat, menurut sumber yang enggan mendedahkan namanya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Puad Zarkashi terdahulu memaklumkan, keputusan mesyuarat MKT malam tadi telah sebulat suara memutuskan untuk memecat tiga pemimpin parti termasuk dua ketua wanita bahagian UMNO.
Puad yang tidak menyebut nama mereka secara khusus memaklumkan, tiga pemimpin parti itu dipecat kerana mencemuh parti dan berkempen untuk parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut laporan MalaysiaKini, Annuar sebelum ini dilihat menggesa UMNO bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, selain menggesa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Di PRU15 lalu, Annuar digugurkan UMNO dari bertanding di kerusi Parlimen Ketereh dan digantikan dengan Marzuani Ardilla Ariffin.
Walaupun tidak dinamakan sebagai calon, Annuar ketika itu turut hadir memberi sokongan kepada Marzuani di hari penamaan calon.
Selepas BN menyertai Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Annuar dilihat telah menukar nadanya dengan berkata keputusan itu wajar dihormati.
Sementara itu, Annuar semalam memuat naik hantaran di Facebook yang dipercayai respon awalnya terhadap keputusan UMNO yang memecatnya dari parti.
"Teringat kisah kenakalan kawan-kawan di asrama. Seorang junior nyenyak tidur. Senior calit tahi ayam atas hidungnya.
"Junior bangun dan tanya kenapa bau tahi ayam? Dicium baju, berbau tahi ayam lalu dibuang baju. Dicium kain, pun sama juga lalu ditanggal kain. Dihidu semua benda, semua berbau belaka padanya dan dibuang jauh-jauh.
"Yang dia tak sedar ialah tahi ayam atas hidungnya sendiri. Tetapi dia mencari salah pada orang dan tempat yang lain. Wallahuaklam," katanya.
Sumber: MalaysiaKini, Facebook Annuar Musa
Post a Comment