'Keadaan cukup sesak dalam tren, saya faham kesulitan dihadapi penumpang' - Anthony Loke turun padang, tinjau perkhidmatan LRT



Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Pengangkutan pada Mei 2018 sehingga Februari 2020. 


Dalam tempoh perkhidmatan singkat itu, tidak dinafikan ada banyak pembaharuan yang dilaksanakan sebelum kerajaan diguling oleh Bersatu (PPBM). Malah, pelbagai pihak terutamanya agensi pengangkutan meluahkan rasa kagum dengan cara kerjanya berbanding bekas-bekas menteri sebelum ini. 


Beberapa minggu lalu sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk, Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu, memohon agar Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melantikan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan kali kedua. 


Cadangan itu dibuat berdasarkan 'track record' Anthony dan percaya Ahli Parlimen Seremban itu dapat membantu meningkatkan taraf perkhidmatan pengangkutan awam dan menjaga kebajikan pekerja-pekerja KTMB. 


Prihatin dengan permohonan kesatuan itu, Anwar melantik Anthony sebagai Menteri Pengangkutan dan telah mengangkat sumpah di Istana Negara pada Sabtu lalu. 


Di hari pertama bertugas, Anthony telah meluangkan masa dua jam untuk meninjau sendiri keadaan sebenar perkhidmatan LRT di waktu puncak antara jam 5 hingga 7 petang. 


Dengan matanya sendiri, Anthony menyaksikan keadaan dalam tren sangat sesak dan tidak selesa. 


"Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak (menimbulkan rasa kurang) selesa kepada penumpang. 


"Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari. 


"Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT," katanya dalam hantaran di Facebook semalam. 








Enggan melihat keadaan itu berterusan, Anthony memaklumkan beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini bagi membincangkan hala tuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.



Sumber: Facebook Anthony Loke

No comments