'Bantu pesakit HIV pun dikaitkan dengan pengamal seks songsang, sempitnya pemikiran!' - Netizen kecam Harakah Daily



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV. 


Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata projek rintis itu perlu dilaksanakan sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementeriannya untuk kegunaan awam.


"Penggunaannya sudah dikaji. Kita telah bincang dengan pakar agama untuk tahu dari sudut hukum dan sebagainya.


"Penggunaannya bukan hanya kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tetapi ada beberapa lagi golongan lain yang akan menggunakannya untuk kita menyekat penularan HIV," katanya.


Penggunaan ubat PrEP dikatakan mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi seks sebanyak kira-kira 90 peratus apabila diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.


Memetik kenyataan dari Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd pula berkata, usaha pencegahan dan rawatan jangkitan HIV boleh dijalankan secara serentak. Namun dalam waktu sama, usaha menghalang jangkitan penyakit berkenaan mesti dilaksanakan juga dengan apa jua cara yang didapati berkesan.


"Sememangnya agama Islam melarang perlakuan seksual songsang dan di luar perkahwinan yang sah, namun ini tidak bererti Islam menghalang daripada usaha mencegah dan merawat penyakit yang berpunca daripada amalan tersebut.


"Apa jua cara dan kaedah yang berkesan untuk mencegah atau membasmi HIV/Aids, maka Islam mengalu-alukannya. Ini termasuk kaedah pantang/abstinen untuk menghindari penyakit berkenaan atau merawat setelah terkena jangkitan. Kita boleh menggunakan cara pencegahan dan perawatan sekali gus.


"Para pendakwah, pendidik dan pimpinan pelbagai lapisan masyarakat hendaklah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan para pengamal perubatan dalam menangani gejala HIV/Aids ini.


"Sebenarnya masalah pencegahan dan perawatan penyakit ini, Islam tidak mengemukakan cara atau kaedah tertentu kerana ia lebih bergantung kepada pengalaman dan maklumat yang ditemui oleh manusia dari semasa ke semasa. Justeru Islam menyerahkan cara dan kaedah pencegahan dan perawatan penyakit kepada pandangan pakar.


"Pihak berkuasa boleh menerima pandangan pakar yang difikirkan dapat dimanfaatkan untuk membasmi apa jua penyakit yang menjangkiti rakyat berdasarkan kaedah fiqh yang termaklum iaitu tindak tanduk pemerintah ke atas rakyat (hendaklah) bersandar kepada maslahah atau kepentingan umum," katanya.


Bagaimanapun, lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), HarakahDaily, mempertikaikan projek rintis yang diusahakan oleh KKM itu.


Dalam kapsyen hantaran yang dimuat naik pentadbir Facebook Harakahdaily beberapa jam lalu mendakwa projek rintis KKM berkenaan diberikan kepada pasangan songsang yang dianggap tidak wajar kerana ia menggunakan wang pembayar cukai.


"Tidak sepatutnya wang pembayar cukai digunakan semata-mata untuk membiayai pengamal seks songsang," tulis HarakahDaily di Facebook rasminya.



Di ruangan komen, netizen menegaskan isu sebegini tidak perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak sekiranya perkara berkenaan mendatangkan kebaikan. Tambahan pula, projek rintis itu sudah dibincangkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi.


"Pencegahan penyakit pun nak dipolitikkan, tak ada batas akhlak dah," kata Iszam. 


"Apa yang Harakah cuba fitnah? Projek ini telah dibincangkan sebelum PRU lagi, semasa Pas jadi sebahagian daripada Kerajaan. Kenapa main sentimen begini?" kata Zaim. 


"Harakahdaily suka memanipulasi fakta apabila melaporkan berita bagi menimbulkan persepsi. Editor mungkin terlepas di dunia," kata Fitri. 


"Kadang-kadang aku confuse dah dengan Harakah. Ini newspaper ke, soalan SPM? Semua headlines ada tanda soal. Kenapa tak letak full marks sekali? Senang viewers nak jawab," kata Aliff. 


"Membantu pesakit HIV pun dikaitkan dengan pengamal seks songsang. Kalau begini sempit pemikiran orang-orang yang merasa mereka berilmu dalam Pas, oran bukan Islam akan terus menjauhi Pas. Assebab pemikiran sempit ini hidayah terhalang, kebaikan untuk pesakit terhenti. Inikah yang Pas nak?" kata Pain. 


"Kelantan antara negeri tertinggi penghidap HIV. Pas masih tak nak jaga rakyatnya? Ubat pencegahan pun tak bagi rakyat ambil. G*** Pas ni," kata Jan Banjari.


Sumber: Astro Awani, The Merdeka Times, Harakahdaily

No comments