Ahli Parlimen Julau, Larry Sng kecewa tiada wakil PBM dilantik dalam Kabinet Anwar
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau, meluahkan rasa kecewanya di Facebook kerana tiada seorang pun wakil partinya dilantik dalam barisan Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Larry berkata, beliau kecewa kerana PDM adalah antara pihak terawal yang menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Walaupun tiada wakil PBM dilantik dalam Kabinet, Larry berkata PBM akan tetap memainkan peranannya dalam mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PH demi kepentingan negara.
"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kekecewaan saya terhadap barisan kabinet (yang baru dilantik), sedangkan PBM adalah antara parti yang terawal menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.
"Namun sebagai sebuah parti, kita tidak boleh membiarkan kepentingan peribadi kita menghalang kepentingan negara.
"Semasa negara bergerak ke hadapan, kita (PBM) juga akan memainkan peranan untuk mengukuhkan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Larry akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam masa terdekat untuk membincangkan hala tuju parti. PBM katanya akan terus kekal menjadi parti nasional dan meluaskan pangkalannya.
"Saya tidak menolak kemungkinan penggabungan dan pembinaan gabungan dengan parti politik lain, sama seperti yang kita rancang sebelum PRU15," katanya.
Kenyataan Larry itu mengundang banyak kecaman netizen di media sosial. Apatah lagi kenyataannya yang berbaur ugutan itu membuatkan ramai yang meluat. Ada yang mendakwa sokongan yang diberi Larry kepada Anwar Ibrahim tidak ikhlas kerana hanya mahu mendapatkan jawatan dalam kabinet.
"Jika ada lagi kekosongan jawatan, parti MUDA layak didahulukan. Mereka bersama dengan PH sejak sebelum PRU15 pun tak dapat apa-apa. You buktikanlah dulu keikhlasan you. Kalau dah upset macam ni, lambat lagilah you punya turn," kata Muzahar.
"PM tak nak beri awak jawatan menteri sebab awak dah keluar dari PKR dulu. Lagipun, PM nak mengurangkan jumlah menteri. Berfikirlah demi rakyat, yang penting peruntukan diberi kepada rakyat mesti sama rata. Jangan gila kuasa atau pangkat," kata Anthony Bana.
"Baru menang satu kerusi pun dah nak minta jawatan besar dalam kabinet. Kalau macam tu, Syed Saddiq lebih layak sebab Syed Saddiq memang bersama dengan PH sebelum PRU. Oh Larry, jangan memalukan Julau," kata Raphael.
Sumber: Facebook Larry Sng
Post a Comment