Tak laporkan kegiatan rasuah, Addy Kanapiah didenda RM10,000 je



Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 maksimum terhadap ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau 'Datuk' Addy Kana, yang mengaku bersalah kerana tidak melaporkan permintaan rasuah sebanyak RM110,000, tiga tahun lalu.


Hakim Rozilah Salleh turut mengarahkan Zaidi dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan dan Zaidi memilih untuk membayar denda itu. 


Mengikut pertuduhan, Zaidi didakwa tanpa alasan munasabah tidak melaporkan kepada pegawai SPRM atau polis suatu permintaan suapan wang tunai di sebuah hotel di Puchong pada Julai 2019. 


Bagi kesalahan itu, Zaidi didakwa di bawah Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(4) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. 


Difahamkan, Zaidi yang merupakan pekerja kepada ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan berunsur tidak bermoral dan perjudian telah bertemu dengan seorang penguatkuasa.


Penguatkuasa itu telah meminta wang suapan RM10,000 setiap bulan agar tiada tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas majikannya. Bagaimanapun Zaidi tidak melaporkan perbuatan itu kepada polis atau SPRM. 


Sementara itu, satu sumber memaklumkan, pihak SPRM sedang dalam proses melucutkan hak aset Zaidi yang dianggarkan bernilai RM1 juta. 


Sumber: Kosmo! Online

No comments