'Saya tak ambil satu sen pun' - Tun Dr Mahathir pertikai tindakan kerajaan beri hadiah RM70 juta kepada bekas PM ke-5



Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin 7 Mac 2022, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir menyatakan beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memberi hadiah bernilai RM70 juta kepada bekas perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, selepas bersara. 


Ini kerana tindakan memberikan hadian besar dan bernilai tinggi kepada bekas-bekas perdana menteri tidak baik kerana negara perlu mematuhi undang-undang. Berbanding dengan dirinya yang telah menjadi perdana menteri lebih dari 22 tahun dan selepas bersara, beliau tidak pernah menerima atau mengambil hadiah daripada kerajaan walau satu sen sekali pun. 


Sebaliknya, Tun Dr Mahathir menolak untuk diberikan hadiah sebidang tanah oleh kerajaan kepadanya dan menawarkan diri untuk membeli tanah tersebut. 


"Saya mengaku saya juga bekas perdana menteri, tetapi saya tak ambil satu sen pun hadiah yang diberikan kepada saya. Mungkin kerana jasa saya itu tak ada, tak cukup nak dapat hadiah. 


"Tetapi saya mengaku ada tawaran nak beri kepada saya sekeping tanah. Saya tolak dan sebaliknya menawar untuk membeli tanah itu, bukan dapat secara percuma," katanya. 


"...apa yang berlaku sekarang tindakan kerajaan tidak sama sekali menghormati Perlembagaan, bahkan tidak menghormati undang-undang yang diluluskan oleh dewan ini semasa perbahasan dan sebagainya. 


"Apa yang kita lihat ialah kerajaan bersikap seolah-olah kerajaan mempunyai kuasa lebih daripada Perlembagaan. Boleh buat apa saja dan tidak perlu merujuk kepada dewan. Dalam satu kes ialah berkenaan dengan hadiah kepada bekas perdana menteri. 


"Berbeza pada zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn yang mana mereka hanya diberikan rumah lama sebagai hadiah atas jasa sebagai pernama menteri. 


"Tetapi apabila sampai kepada Abdullah, kita dapati hadiah yang diberikan ini bernilai RM70 juta. Ini satu angka yang besar yang beratus kali ganda lebih daripada gaji yang didapati yang dibayar kepada perdana menteri semasa bertugas. 


RM70 juta diberi dan ini dilakukan tanpa rujukan kepada Dewan Rakyat atau di mana-mana undang-undang yang boleh menentukan berapa banyak nilai hadiah ini. 


"Dan kita juga dengar bahawa semasa perdana menteri keenam bersara, dia menulis surat kepada kerajaan yang meminta supaya dihargai jasanya dengan memberikannya sebanyak RM100 juta," katanya. 


Menurut Tun Dr Mahathir, Najib telah memohon RM100 juta berupakan bangunan bernilai RM60 juta dan wang sebanyak RM40 juta. Tetapi tiada peruntukan dalam undang-undang yang memboleh amaun sebesar itu diberikan kepada bekas perdana menteri. 


Bagaimanapun atas timbang rasa dan kuasa yang sedikit pada kerajaan, ada yang bersetuju satu hadiah perlu diberi kepada bekas perdana menteri yang bersara sebagai satu tanda bahawa sumbangannya kepada negara perlu dihargai walaupun itu bukan amalan kerajaan dahulu. 


Sumber: Malaysia Gazette

No comments